Hanya Selangor, Kedah pinda umur minimum perkahwinan Islam kepada 18 tahun

Iklan
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri. Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Hanya dua negeri iaitu Selangor dan Kedah, telah meminda peruntukan undang-undang berkaitan umur minimum perkahwinan orang Islam kepada 18 tahun, manakala negeri lain masih tertakluk kepada pertimbangan dan proses perundangan masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan menerusi kementeriannya akan terus berusaha menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh negara secara berperingkat melalui kerjasama rapat dengan kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha itu memerlukan libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri, agensi berkaitan dan pemegang taruh memandangkan hal ehwal undang-undang keluarga Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.

"KPWKM mengetengahkan maklumat mengenai risiko perkahwinan bawah umur terhadap kesinambungan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan peluang masa depan kanak-kanak dalam sesi libat urus dengan kerajaan negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai pencapaian Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025 serta usaha kerajaan menyeragamkan had umur minimum perkahwinan.

Nancy berkata, sebanyak 1,361 kes perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun direkodkan pada 2024 berbanding 923 kes pada 2023 dan 1,467 kes pada 2019, merangkumi perkahwinan yang didaftarkan mengikut undang-undang sivil, syariah dan adat.

Iklan

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa peningkatan jumlah kes yang direkodkan pada 2024 antara lain dipengaruhi ketersediaan data yang lebih teratur di Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata, dua kajian mengenai keberkesanan pelaksanaan pelan strategik kebangsaan serta faktor risiko dan strategi pencegahan perkahwinan bawah umur dijangka selesai pada awal 2027.

Katanya, dapatan kedua-dua kajian itu akan digunakan untuk mengenal pasti jurang pelaksanaan dan menentukan tindakan susulan yang lebih berfokus serta berasaskan bukti. - Bernama