Perang terhadap kenderaan lebih muatan perlu diteruskan - Anthony Loke

Iklan
Anthony

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa meneruskan tindakan tegas membanteras kenderaan lebih muatan meskipun Anthony Loke tidak lagi menerajui Kementerian Pengangkutan (MOT).

Berucap kali terakhir di pentas MOT, Anthony berkata, usaha itu tidak seharusnya terhenti atau berubah selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sebaliknya perlu diteruskan tanpa kompromi oleh kepimpinan baharu kementerian dan JPJ.

Iklan
Iklan

Menurut Anthony, beliau menyedari terdapat pihak yang mungkin menganggap pengunduran beliau akan memberi ruang kepada mereka untuk kembali mengendalikan kenderaan melebihi had muatan seperti sebelum ini.

"Saya mahu JPJ buktikan bahawa mereka ini salah. Perang terhadap lebih muatan ini, bersama atau tanpa, akan diteruskan kerana ini agenda yang sangat penting. Ini bukan soal Menteri, ini soal nyawa manusia," katanya di Perhimpunan Bulanan dan sambutan Deepavali MOT, di sini pada Rabu.

Iklan

Anthony menegaskan, penguatkuasaan terhadap kesalahan itu perlu dilaksanakan secara konsisten kerana ia membabitkan keselamatan pengguna jalan raya dan bukannya kepentingan mana-mana individu atau pihak tertentu.

Katanya, pihak JPJ tidak mempunyai alasan untuk melonggarkan tindakan kerana kuasa penguatkuasaan sudah diberikan menerusi pindaan undang-undang yang dilaksanakan sebelum ini.

Iklan

"Jangan berlengah dalam perkara ini, jangan berlembut dalam perkara ini sebab ini sesuatu yang sangat-sangat penting kepada isu keselamatan jalan raya.

"Undang-undang sudah sedia ada. Tak ada alasan lagi bahawa JPJ tak ada peruntukan undang-undang. Undang-undang sudah ada, kuasa telah pun diberikan melalui usaha dasar kita, melalui Parlimen," ujarnya.

Beliau turut meminta Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli serta Pengarah Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memastikan tindakan berkenaan diteruskan.

Selain kenderaan lebih muatan, Anthony berkata, isu lumba haram dan kesalahan memandu melebihi had laju juga perlu diberikan perhatian serius kerana sering menyumbang kepada kemalangan jalan raya yang meragut nyawa.

"Saya nak bagi sokongan kepada usaha JPJ supaya banteras isu-isu yang telah pun lama membelenggu kita, seperti terlebih muatan, pandu laju dan lumba haram. Ini perkara-perkara besar yang selalu menyebabkan kemalangan jalan raya dan meragut nyawa manusia,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui tragedi kemalangan bas yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta insiden kemalangan membabitkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan meninggalkan kesan psikologi besar kepadanya.

Katanya, kedua-dua kejadian yang berlaku dalam tempoh kurang dua hingga tiga minggu itu mendorong beliau memberi perhatian lebih serius terhadap usaha memperkukuh dasar dan langkah keselamatan jalan raya.

Justeru, Anthony berharap agenda keselamatan jalan raya terus menjadi keutamaan MOT tanpa mengira siapa yang memegang jawatan menteri selepas ini.

"Ini isu nyawa manusia. Sesiapa saja duduk dalam jawatan ini, dia mesti menjadikan isu keselamatan jalan raya sebagai agenda utama," katanya.

Terdahulu, Anthony tiba di MOT jam 10.05 pagi bagi menghadiri majlis tersebut. Ketibaannya disambut oleh Timbalan Menteri Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri M Jana Santhiran serta ketua-ketua jabatan.

Anthony mengumumkan peletakkan jawatan yang dipegangnya sejak 47 bulan lalu, berkuat- kuasa semalam.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Presiden UMNO berusia 73 tahun itu.

Anthony sebelum ini menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjejak kaki ke kediamannya.