PAC perlu dilibatkan teliti peruntukan lebihan kementerian - MP Kuala Pilah

Iklan
Adnan Abu Hassan.

SHAH ALAM – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu diberikan peranan lebih besar dalam meneliti urusan peruntukan tambahan dan perbelanjaan lebihan kementerian bagi memastikan setiap penggunaan wang awam dilaksanakan secara telus serta berakauntabiliti.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, penglibatan PAC penting bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang Parlimen.

Iklan
Iklan

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Dewan Rakyat itu, perkara ini khususnya apabila kementerian memerlukan peruntukan tambahan atau berdepan perbelanjaan melebihi jumlah yang diluluskan.

"Perkara itu mempunyai asas dalam Peraturan Mesyuarat 77(1) Dewan Rakyat yang memperuntukkan bidang kuasa PAC untuk memeriksa akaun Persekutuan serta penggunaan wang yang diluluskan Parlimen bagi membiayai perbelanjaan awam.

Iklan

"Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) turut memberikan ruang kepada PAC untuk meneliti perkara lain yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa itu atau dirujuk kepadanya oleh Dewan Rakyat.

"Malah, Peraturan Mesyuarat 77(5) memberikan kuasa kepada PAC untuk memanggil individu, mendapatkan dokumen dan rekod berkaitan serta mengemukakan laporan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam konteks pengurusan perbelanjaan kerajaan, Adnan turut menegaskan Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan menetapkan keperluan membentangkan anggaran tambahan di hadapan Dewan Rakyat sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi atau berlaku perbelanjaan melebihi jumlah yang diluluskan.

Sehubungan itu, beliau melihat penglibatan PAC dalam penelitian berkenaan mampu memperluas pengawasan Parlimen terhadap pengurusan kewangan kementerian, selain memastikan setiap perbelanjaan tambahan mempunyai justifikasi yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.

"Langkah berkenaan juga penting bagi memastikan pengurusan kewangan negara sentiasa berpandukan prinsip ketelusan, integriti dan tatakelola yang baik demi melindungi kepentingan rakyat," katanya lagi.