PRN Sarawak ditetapkan pada 12 Disember - SPR

Iklan
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember, dengan tempoh berkempen selama 14 hari. Gambar hiasan

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 12 Disember ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Sarawak di sini, hari ini. 

Bagi urusan undi pos, permohonan bagi kategori dalam dan luar negara untuk PRN Sarawak telah dibuka pada 26 Oktober lalu.

Iklan

Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota tentera dan pengamal media ditetapkan pada 25 November ini.

“Bagi Kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia di luar negara dan 1C melibatkan agensi atau organisasi, tarikh tutup pula ialah pada 20 November,” katanya.

Iklan

Ramlan berkata, SPR melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu 305 Penolong Pegawai Pengurus bagi mengendalikan PRN berkenaan.

Beliau berkata, SPR turut menubuhkan 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Pasukan itu turut dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding.

Menurutnya, daftar pemilih bagi PRN Sarawak ke-13 merangkumi 2,058,781 pemilih terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera serta pasangan dan 10,833 anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan.

Dalam pada itu, SPR memaklumkan sebanyak 97 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan bagi PRN DUN Sarawak ke-13.

Sebanyak 40,505 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.

Bagi pengundian awal, sebanyak 82 pusat mengundi disediakan membabitkan 106 tempat mengundi atau saluran.

Sementara itu, sebanyak 1,945 pusat mengundi biasa dengan 4,482 tempat mengundi atau saluran turut disediakan.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,027 pusat mengundi dengan 4,588 tempat mengundi atau saluran akan digunakan.

SPR memaklumkan peruntukan bagi melaksanakan PRN Sarawak kali ini dianggarkan berjumlah RM174.94 juta. - Bernama