Lensa jurufoto muda hidupkan nostalgia, perkenal keunikan tempat bersejarah

Iklan
Bangunan sekitar Pekan Kuala Pilah yang mempunyai sejarah tersendiri turut diabadikan oleh graduan UiTM Kuala Pilah sebagai gambar prakonvokesyen mereka. - FOTO: Muhamad Rusdi.

SHAH ALAM - Keunikan sesebuah pekan yang mungkin dipandang biasa oleh penduduk setempat mampu menjadi tarikan istimewa apabila dirakam melalui lensa kamera, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia mereka yang pernah menetap di kawasan berkenaan.

Bagi jurufoto bebas, Muhamad Rusdi Junaidi, 29, Pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan mempunyai nilai estetika tersendiri, khususnya menerusi mural dan suasana jalanan yang jarang diketengahkan sebagai lokasi fotografi.

Iklan
Iklan

Menurut anak kelahiran Segamat, Johor yang kini menetapkan di Nilai itu, kunjungan kali kedua ke pekan berkenaan memberi peluang kepadanya merakam keunikan kawasan tersebut selepas tertarik dengan suasananya ketika melakukan sesi fotografi perkahwinan sebelum ini.

"Menariknya, apabila saya berkongsi gambar tersebut dalam kumpulan media sosial, ramai orang lama Kuala Pilah memberikan komen positif. Ada antara mereka yang sudah merantau ke luar dan gambar itu mengingatkan mereka semula kepada kenangan di pekan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Muhamad Rusdi bersama isteri dan anaknya.

Berkongsi pengalaman merakam lokasi menarik di negeri lain, Muhamad Rusdi berkata, Melaka juga mempunyai pelbagai tarikan fotografi termasuk tapak bersejarah A Famosa, kawasan pantai, Jonker Walk, Encore Melaka serta Sungai Melaka berhampiran kawasan Jonker Walk.

Iklan

Menurutnya, kepelbagaian lokasi berkenaan menjadikan Melaka antara negeri yang menarik untuk aktiviti fotografi kerana menawarkan suasana berbeza, daripada kawasan bersejarah hingga ke persekitaran sungai dan jalanan.

Mengulas peranan penggiat seni dalam memelihara warisan, dia berpandangan jurufoto juga mempunyai tanggungjawab merakam lokasi bersejarah agar keunikannya dapat dikenali oleh generasi muda.

Stesen Bas Kuala Pilah menjadi antara lokasi pilihan graduan UiTM Kuala Pilah mengabadikan gambar prakonvokesyen mereka. - FOTO: Muhamad Rusdi.

"Sebagai contoh, apabila kita mengambil gambar di tempat bersejarah, orang lama sudah tentu mengenali lokasi itu. Namun, bagi generasi baharu, mereka mungkin belum tahu.

"Apabila melihat gambar yang kita hasilkan dan tertarik dengan keindahannya, mereka mungkin akan mula mencari maklumat serta menyelidik tempat berkenaan," katanya.

Mengimbas perjalanan kerjayanya, Muhamad Rusdi berkata, bidang fotografi mula diceburinya ketika masih menuntut dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebelum menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa sejak tujuh tahun lalu.

Dia kini menawarkan perkhidmatan fotografi bagi pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan, pertunangan, makan malam, acara syarikat dan konvokesyen menerusi akaun media sosial @rusdijunaidi dan @de.kenangan.