IBU bapa menghantar anak ke universiti dengan satu harapan. Apabila tamat belajar nanti, dapatlah anak itu pekerjaan yang baik, bergaji elok dan tidak lagi perlu meminta wang belanja daripada keluarga.
Anak pula mempunyai impian sendiri. Mahu membeli kereta, membantu ibu bapa, membayar pinjaman pendidikan dan mengumpul wang untuk masa depan. Semuanya memerlukan pendapatan yang munasabah.
Tetapi apabila ijazah sudah berada dalam tangan, cerita sebenar tidak semudah itu. Ada yang berbulan-bulan menghantar permohonan kerja. Ada yang mendapat tawaran tetapi gajinya tidak seberapa. Akhirnya, apa sahaja pekerjaan yang datang terpaksa diterima.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara turun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026. Namun, bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadarnya masih 10.1 peratus atau 291,300 orang.
Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam pula membangkitkan bahawa 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pada suku kedua 2026.
Angka ini tidak bermakna semua graduan mesti bekerja mengikut nama ijazah. Ada graduan undang-undang menjadi pengurus syarikat muzik dan menggunakan pengetahuannya untuk membantu artis memahami kontrak.
Begitu juga wartawan, bukan semuanya berijazah kewartawanan. Yang penting, ilmu dan kebolehan mereka digunakan.
Mengapa pelaburan negara penting?
Pekerjaan tidak muncul begitu sahaja. Negara memerlukan ekonomi yang kukuh, syarikat yang berkembang dan industri yang sanggup mengambil pekerja serta membayar gaji setimpal.
Di sinilah Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) mempunyai peranan. Melaluinya, enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menggerakkan modal ke industri strategik, infrastruktur dan syarikat tempatan.
Pelaburan seperti ini penting kerana pembinaan industri memerlukan modal besar dan masa yang panjang. Apabila syarikat berkembang, pembekal, penyedia perkhidmatan dan perniagaan sokongan turut berpeluang mendapat manfaat.
Menurut Kementerian Kewangan, GLIC menyalurkan pelaburan domestik RM20.3 bilion pada 2025 berbanding RM6.6 bilion pada 2024. Daripadanya, RM1.4 bilion disalurkan kepada semikonduktor dan RM1.8 bilion kepada infrastruktur digital serta logistik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan bahawa kejayaan GEAR-uP bukan diukur melalui ringgit semata-mata, tetapi juga peningkatan gaji, graduan mendapat pekerjaan yang baik dan perniagaan tempatan berkembang.
Itu ukuran yang wajar. Tetapi pelaburan berbilion ringgit belum bermakna graduan akan mendapat pekerjaan bergaji tinggi. Kita perlu melihat berapa banyak pekerjaan diwujudkan, siapa yang mendapatnya dan bagaimana pendapatan mereka berkembang.
Gaji yang baik mesti menjadi ukuran
Laporan GEAR-uP menunjukkan 91.7 peratus daripada 206,987 pekerja tetap rakyat Malaysia di enam GLIC dan 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerima sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan pada Disember 2025.
Ini perkembangan yang menggalakkan kerana RM3,100 merupakan penanda aras gaji kehidupan wajar. Namun, angka tersebut hanya melibatkan pekerja dalam kumpulan berkenaan, bukannya semua graduan atau pekerja Malaysia.
Program K-Youth pula membantu menempatkan 9, 934 anak muda dalam pekerjaan pada 2025. Bakat Madani menyasarkan 25,000 rakyat Malaysia mendapat manfaat latihan dan peluang pekerjaan menjelang akhir 2027.
Semua ini langkah yang mempunyai asas. Namun, bilangan peserta latihan tidak boleh menjadi ukuran tunggal. Berapa ramai mendapat pekerjaan tetap? Berapa gaji mereka selepas latihan? Adakah kemahiran mereka benar-benar digunakan?
Nicholas turut mengingatkan bahawa latihan mesti memenuhi permintaan sebenar majikan. Jumlah iklan pekerjaan berbayar di Jobstreet juga hampir tidak berubah pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Maknanya, menyediakan latihan sahaja tidak mencukupi jika peluang pekerjaan yang sesuai tidak berkembang seiring.
Industri baharu memerlukan bakat baharu
Malaysia sudah lama terlibat dalam industri semikonduktor, khususnya pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip. Kini negara mahu memperluas penyertaan kepada reka bentuk cip dan teknologi bernilai tinggi.
Industri ini memerlukan jurutera, saintis dan tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Pusat data pula memerlukan kepakaran teknologi maklumat, sistem elektrik dan infrastruktur digital.
Bagi anak muda yang sedang memilih kerjaya, perkembangan ini patut diperhatikan. Bukan bermakna semua orang mesti menjadi jurutera, tetapi mereka perlu mengenal pasti jenis pekerjaan yang muncul apabila sesuatu industri berkembang.
Permintaan terhadap kemahiran kecerdasan buatan (AI) turut meningkat. Jobstreet melaporkan bahagian iklan pekerjaan berkaitan AI naik daripada 0.9 peratus pada Januari 2024 kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026.
Belanjawan 2027 menyediakan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), manakala HRD Corp menyediakan pembiayaan RM3 bilion untuk tiga juta peluang latihan.
Graduan boleh menggunakan maklumat ini untuk menilai kemahiran tambahan yang berbaloi dipelajari. Mereka yang sudah bekerja pula boleh melihat sama ada kepakaran sedia ada boleh digunakan dalam industri lain yang menawarkan prospek lebih baik.
Jangan hanya mengejar nama jawatan
Memilih kerjaya bukan semata-mata mencari pekerjaan yang mempunyai nama jawatan menarik. Lihat juga kemahiran yang akan diperoleh, pengalaman yang boleh dibina dan peluang kenaikan gaji selepas beberapa tahun.
Syarikat yang sedang berkembang mungkin menawarkan ruang mempelajari perkara baharu. Namun, graduan tetap perlu menilai tawaran gaji, keadaan pekerjaan dan sama ada pengalaman itu membantu perjalanan kerjaya mereka.
Universiti perlu memahami keperluan industri, majikan menyediakan latihan dan peluang kemajuan kerjaya, sementara graduan bersedia menambah kemahiran. Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan kepada pencari kerja sahaja.
GEAR-uP boleh membantu membina industri yang menyediakan pekerjaan masa depan. Tetapi pelaburan itu perlu menghasilkan syarikat berdaya saing dan pekerjaan yang mampu bertahan, bukan sekadar angka besar dalam laporan tahunan.
Bagi ibu bapa, mereka mahu anak yang sudah bersusah payah belajar mendapat pekerjaan yang membolehkannya berdikari. Bagi graduan pula, mereka mahu ilmu yang dipelajari dihargai dengan gaji setimpal.
Jadi, apabila kita bercakap tentang kejayaan GEAR-uP, jangan berhenti pada berapa bilion ringgit sudah dilaburkan. Tanyakan juga berapa ramai anak muda mendapat pekerjaan yang baik hasil daripadanya.
Bagi generasi muda, jangan pula hanya menunggu pekerjaan itu datang. Perhatikan arah industri negara, kenal pasti kemahiran yang diperlukan dan buat keputusan kerjaya berdasarkan peluang yang benar-benar mempunyai masa depan.
*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian