Belanjawan 2027 perkukuh infrastruktur, pacu kesejahteraan rakyat

Iklan

PEMBANGUNAN infrastruktur kekal menjadi antara tunjang utama dalam agenda pembangunan negara apabila Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan RM10.882 bilion menerusi Belanjawan 2027.

Peningkatan sebanyak 1.78 peratus berbanding RM10.692 bilion pada tahun lalu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk memastikan rakyat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih berkualiti, selamat dan berdaya tahan.

Iklan
Iklan

Selaras dengan tema Belanjawan 2027 iaitu Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, peruntukan tersebut bukan sekadar angka di atas kertas, malah diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat, daripada jaringan jalan raya yang lebih baik hingga kepada peluang ekonomi baharu di seluruh negara.

Sebagai kementerian yang menerajui pembangunan infrastruktur negara, KKR melihat pelaburan ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Iklan

Daripada keseluruhan peruntukan itu, RM1.146 bilion diperuntukkan bagi Belanja Mengurus, manakala RM9.736 bilion disalurkan untuk Belanja Pembangunan.

Peruntukan tersebut membolehkan KKR meneruskan pelaksanaan projek strategik negara, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memastikan kemudahan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.

Iklan

Infrastruktur bukan sekadar menghubungkan destinasi, malah membuka akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan aktiviti ekonomi yang menjadi pemacu pembangunan negara.

Pan Borneo terus jadi keutamaan

Antara fokus utama Belanjawan 2027 ialah kesinambungan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo menerusi peruntukan sebanyak RM1.38 bilion.

Projek ikonik itu terus menjadi pemacu pembangunan Sabah dan Sarawak dengan menyediakan rangkaian jalan raya yang lebih selamat, cekap dan moden.

Pelaksanaannya bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah mengurangkan kos logistik, memperkukuh hubungan antara bandar dan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang pelaburan dan aktiviti ekonomi di kedua-dua negeri.

Komitmen kerajaan meneruskan projek tersebut memperlihatkan usaha berterusan merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Belanjawan 2027 turut membawa berita positif kepada industri pembinaan tempatan apabila kerajaan meningkatkan peruntukan bagi memperkasa kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion, berbanding RM4 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan sebanyak 87.5 peratus itu dijangka memberi limpahan manfaat kepada ribuan kontraktor kecil dan sederhana di seluruh negara.

Langkah ini bukan sahaja membantu meningkatkan kapasiti syarikat tempatan, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi domestik serta memperkukuh rantaian bekalan industri pembinaan negara.

Dalam masa yang sama, pembangunan kontraktor tempatan akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyokong sektor pembinaan.

Jalan lebih selamat, rakyat lebih selesa

Kerajaan turut memperuntukkan hampir RM800 juta bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan, termasuk RM350 juta khusus untuk Sabah dan Sarawak.

Peruntukan ini mencerminkan keutamaan kerajaan memastikan jalan raya sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa untuk digunakan.

Penyelenggaraan yang sistematik bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah memanjangkan jangka hayat aset infrastruktur negara serta mengurangkan kos pembaikan pada masa hadapan.

Selain itu, pembangunan jalan raya dan jambatan di Sabah dan Sarawak terus diperkasakan melalui peruntukan RM801.46 juta untuk Sabah dan RM565.30 juta bagi Sarawak.

Pelaburan ini dijangka memperluas akses kepada kawasan luar bandar, mempercepat pembangunan wilayah serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.

Sementara itu, dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih responsif, kerajaan turut meningkatkan Peruntukan Khas Jurutera Daerah di seluruh negara daripada RM30 juta kepada RM40 juta.

Peningkatan ini membolehkan jurutera daerah menangani isu infrastruktur setempat dengan lebih pantas dan berkesan, selain mempercepat pelaksanaan projek berskala kecil yang memberi manfaat terus kepada komuniti.

Pendekatan ini selaras usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus pembangunan sehingga ke peringkat akar umbi.

KKR pastikan setiap ringgit beri manfaat

Bagi KKR, setiap peruntukan yang disalurkan merupakan amanah besar untuk diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai rakyat.

Sehubungan itu, kementerian komited memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, memenuhi spesifikasi ditetapkan dan memberikan nilai terbaik kepada kerajaan serta rakyat.

Pemantauan yang teliti, tadbir urus yang berintegriti dan pengurusan kewangan yang cekap akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara berhemah dan berimpak tinggi.

KKR menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada kementerian menerusi Belanjawan 2027.

Amanah itu akan dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara terus dipacu secara inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Belanjawan 2027 sekali lagi membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur kekal menjadi asas penting dalam membina sebuah negara yang berdaya saing. Dengan sokongan peruntukan yang kukuh, KKR akan terus memperkasakan jaringan jalan raya, jambatan serta kemudahan awam lain demi meningkatkan keselamatan, memperluas peluang ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

*Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ialah Menteri Kerja Raya