SEORANG mahasiswa hanya dapat menggapai cita-cita apabila keperluan hidupnya turut diberi perhatian.
Bilik kuliah yang baik perlu disertai tempat tinggal yang selamat, makanan yang mencukupi dan peluang membina masa depan tanpa dibebani kesempitan kewangan.
Di sinilah saya melihat kekuatan Belanjawan Madani 2027: cita-cita kemajuan negara dihubungkan dengan kehidupan sebenar anak muda.
Dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 9 Oktober 2026, “Belanjawan Madani Kelima: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” membawa gagasan Waad Nasional.
Negara menyediakan ruang dan peluang, sementara rakyat mengisinya dengan ilmu, usaha dan daya cipta.
Bagi universiti, waad ini menuntut kita memastikan pendidikan benar-benar menjadi jalan kemajuan.
Lapan lunasnya merangkumi usaha menangani kos sara hidup rakyat, mengutama semua negeri, membela nasib semua rakyat, mengangkat mutu perkhidmatan rakyat, menjamin bekalan dan kesiapsiagaan negara, memecah siling keupayaan ekonomi, memelihara citra nusa serta menata wang rakyat dengan amanah.
Dalam kerangka yang luas ini, pendidikan tinggi mempunyai tanggungjawab menghubungkan kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan masyarakat.
Bagi pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM), saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas perhatian terhadap mahasiswa dan masa depan pendidikan tinggi.
Terima kasih juga kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, atas usaha memperjuangkan keperluan sektor ini serta sokongan dan kepercayaan yang terus diberikan kepada UiTM.
Peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), termasuk RM800 juta untuk menambah baik prasarana seperti bilik kuliah dan kediaman mahasiswa serta menggantikan peralatan usang, memberi sokongan penting kepada mutu pembelajaran.
Kemudahan yang berfungsi dengan baik membolehkan mahasiswa menumpukan perhatian kepada pengajian dan pensyarah melaksanakan pendidikan dengan lebih berkesan.
Saya khususnya menyambut baik pengumuman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP untuk melabur RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus bagi membina kediaman siswa di enam university terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin dan UiTM.
Penglibatan UiTM dalam inisiatif ini amat dihargai kerana penginapan ialah keperluan asas yang member kesan langsung kepada kebajikan mahasiswa.
Pelaburan bagi enam universiti ini membuka ruang untuk menangani keperluan kediaman secara lebih tersusun melalui kerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
Bagi keluarga yang menghantar anak ke universiti, perhatian kepada penginapan dapat membantu mengurangkan keresahan tentang keselamatan, perjalanan dan kos kehidupan sepanjang pengajian.
Kebajikan yang sama perlu dirasakan di meja makan. Peluasan Program DapurSiswa Madani ke politeknik dan institut pendidikan guru, dengan peruntukan RM20 juta, menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan keperluan makanan mahasiswa diberi perhatian.
Penyediaan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan dan Menu Kasih Siswa pada harga RM5 boleh membantu mereka mengurus perbelanjaan harian.
Di UiTM, semangat ini telah digerakkan melalui Dapur HEP yang diperkenalkan sejak 2020.
DapurSiswa Madani membawa kesinambungan pendekatan membantu mahasiswa mendapatkan makanan kepada agenda yang lebih luas. Pengalaman tersebut memperlihatkan bahawa kebajikan makanan perlu mendapat sokongan berterusan agar mahasiswa dapat belajar dengan tenang dan bermaruah.
Saya turut menyambut baik potongan cukai kepada pihak yang menyumbangkan makanan dan peralatan bagi tujuan ini, berkuat kuasa dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Galakan tersebut membuka ruang kepada alumni dan sektor korporat untuk menyokong kebajikan siswa. Kerajaan juga mengalu-alukan sumbangan kepada universiti awam yang layak menikmati potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.
Kepada lebih sejuta alumni UiTM, negara masih memerlukan sumbangan saudara dan saudari. Kembalilah kepada universiti keramat ini melalui kepakaran, bimbingan, jaringan industri, peluang latihan, keusahawanan, pelaburan dan wakaf ilmu.
Kekuatan alumni terletak pada keupayaan membina laluan yang lebih luas untuk generasi seterusnya. Bantuan makanan, bimbingan kerjaya atau peluang latihan industri boleh membawa perubahan besar kepada seorang mahasiswa.
Semangat menyokong penuntut ilmu mempunyai sandaran yang indah dalam hadis riwayat Anas bin Malik. Beliau menceritakan dua bersaudara pada zaman Rasulullah SAW, seorang bekerja dan seorang lagi datang kepada Baginda untuk menuntut ilmu.
Apabila saudara yang bekerja mengadu, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Boleh jadi kamu dikurniakan rezeki kerana dia.” Hadis riwayat al-Tirmizi ini mengingatkan kita tentang nilai membantu mereka yang menuntut ilmu.
Hadis itu berlatarbelakangkan penuntutan ilmu agama. Semangat menyokong penuntut ilmu boleh menjadi dorongan kepada alumni untuk membantu mahasiswa yang memerlukan.
Pada hemat saya, galakan sumbangan dalam belanjawan ini seiring dengan nilai saling membantu dan memelihara peluang pendidikan.
Keprihatinan kerajaan turut menjangkau kehidupan selepas tamat pengajian. Bagi 2027, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan diberikan penangguhan bayaran balik.
Ucapan belanjawan turut menetapkan bayaran minimum RM50 bagi kelompok pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan. Langkah ini dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam.
Pembayaran hutang, termasuk pembiayaan pendidikan, ialah amanah dan tanggungjawab yang dituntut dalam Islam. Bayaran balik PTPTN membantu dana pendidikan terus digunakan untuk membuka peluang kepada pelajar lain.
Penangguhan yang diumumkan memberi ruang kepada peminjam berpendapatan rendah menstabilkan kehidupan sambil memelihara tanggungjawab membayar apabila berkemampuan, mengikut ketetapan yang berkenaan.
Pendekatan ini dilengkapi diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran secara teratur.
Potongan cukai kepada majikan yang membayar pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja, bagi bayaran dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028, pula menggalakkan sokongan dunia pekerjaan kepada graduan.
Pengenalan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan turut membawa perhatian kepada hubungan antara kelayakan, kemahiran dan pendapatan yang lebih wajar.
Bantuan tiket penerbangan FlySiswa Madani 2027 yang dinaikkan daripada RM400 kepada RM500, untuk manfaat lebih 60,000 penuntut IPTA, melengkapkan perhatian terhadap kos kehidupan siswa.
Bagi mahasiswa yang belajar jauh dari keluarga, bantuan perjalanan mempunyai nilai yang dekat dengan kehidupan mereka dan ibu bapa.
Belanjawan ini juga membawa pembaharuan terhadap suasana ilmu. Kerangka perundangan pendidikan tinggi bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan meliputi autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa.
Pengumuman penghentian serta-merta prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman perlu disambut dengan kesungguhan membina budaya dialog yang matang dan berasaskan bukti.
Mahasiswa perlu diberi ruang untuk berfikir dan mengemukakan pandangan dengan bertanggungjawab. Universiti pula perlu membimbing mereka menilai maklumat, menghormati perbezaan dan membina hujah.
Keupayaan ini semakin penting ketika AI mengubah cara manusia belajar, bekerja dan membuat keputusan.
Perdana Menteri menegaskan bahawa menggapai di langit, mengakar di bumi turut bermakna mempelopori AI tanpa mempertaruh nilai dan keselamatan negara.
Seruan supaya anak muda menguasai pengaturcaraan, sains data dan teknologi kuantum memberi arah yang jelas kepada universiti.
Peruntukan RM8 bilion bagi TVET rentas kementerian serta RM6 bilion bagi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan ciptaan rentas kementerian menyediakan sokongan kepada agenda kemahiran dan penciptaan ilmu.
Saranan ini seiring dengan mandat kepada UiTM ketika perasmian Seminar Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, pada 4 Oktober lalu.
Dalam program anjuran bersama Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dan UiTM itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan terhadap kemampuan UiTM mewujudkan jabatan kuantum pada 2027 bagi membangunkan penyelidikan, dengan hala tuju seterusnya menawarkan pengajian menerusi fakulti khusus.
Beliau turut mengumumkan RM500,000 untuk menyokong pembangunan jabatan kuantum serta pengajian berkaitan TVET dan AI. Amanah dan kepercayaan diberikan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Mohd Khamil Jamil.
Sokongan ini memperkukuh dorongan untuk menghimpunkan kepakaran UiTM dan menyediakan laluan anak Melayu serta Bumiputera ke bidang teknologi masa hadapan.
Sepanjang tujuh dekad, UiTM telah membuka peluang pendidikan kepada generasi yang mahu mengubah kehidupan keluarga. Belanjawan 2027 memberi dorongan untuk meneruskan amanah itu: kebajikan siswa dipelihara, kemampuan graduan diberi perhatian dan bidang ilmu baharu diterokai.
Tanggungjawab kita ialah memastikan sokongan kerajaan dan sumbangan alumni sampai kepada mahasiswa dalam bentuk peluang yang boleh mereka manfaatkan.
Ukuran kejayaan akhirnya ialah mahasiswa yang dapat belajar tanpa kelaparan, mempunyai kediaman yang selamat dan meninggalkan universiti dengan ilmu serta harapan yang lebih kukuh.
Apabila asas kehidupan mereka terpelihara, cita-cita untuk menggapai masa depan mempunyai tempat untuk berakar.
*Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin ialah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA