Mydin santuni 15 rumah kebajikan menerusi kempen 'A Brighter Deepavali'

Iklan
Yuneswaran (tiga dari kanan) dan Ahimmat (empat dari kiri) melancarkan kempen ‘A Brighter Deepavali’ di Mydin Seremban 2 pada Khamis.

SEREMBAN – Sempena sambutan Deepavali tahun ini, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan menyantuni 15 rumah kebajikan terpilih di seluruh negara menerusi kempen ‘A Brighter Deepavali’.

Pengarah Eksekutifnya, Ahimmat Mydin berkata, kempen berkenaan merupakan usaha pihaknya untuk berkongsi kegembiraan Deepavali bersama golongan yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama stesen radio Raaga dan Minnal FM serta akhbar Makkal Osai.

“Bagi Mydin, sambutan perayaan bukan sekadar mengenai promosi dan jualan, tetapi juga peluang untuk kita berkongsi kegembiraan dan menyantuni mereka yang memerlukan.

Iklan

“Melalui kempen ‘A Brighter Deepavali’, kita mahu memastikan keceriaan Deepavali turut dirasai oleh komuniti yang kita santuni,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran 'A Brighter Deepavali’ di Mydin Seremban 2, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, menerusi inisiatif Mydin Prihatin, pihaknya bersama rakan pembekal akan menyumbang sebanyak RM100,000 dalam bentuk baucar tunai dan barangan keperluan asas kepada 15 rumah kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Iklan

Ahimmat berkata, orang ramai juga boleh menyumbang barangan keperluan asas menerusi bakul sumbangan yang disediakan di cawangan Mydin terpilih sehingga 30 Oktober ini.

“Pelanggan juga dialu-alukan untuk turut menyumbang supaya lebih ramai dapat merasai kegembiraan sempena Deepavali melalui bantuan yang akan diserahkan bermula 1 hingga 8 November ini,” katanya.

Sesi gimik Pelancaran Seni Kolam sempena kempen kempen ‘A Brighter Deepavali’.

Dalam pada itu, menerusi kempen terbabit, Mydin turut mengadakan Bombay Bazaar yang menghimpunkan peniaga kecil daripada komuniti India untuk memperkenalkan produk mereka kepada pelanggan.

Ujarnya, ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan, selain memperkenalkan produk dan budaya komuniti India kepada masyarakat.

“Mydin sentiasa menyokong usahawan kecil dan tempatan dengan membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan akses ke pasaran yang lebih luas.

“Menerusi Bombay Bazaar, kita bukan sahaja memberi peluang ekonomi kepada peniaga kecil, tetapi turut memberi pengalaman kepada pelanggan untuk mengenali dan mencuba pelbagai produk yang ditawarkan,” katanya.

Terdahulu kempen berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran.

Ahimmat (tiga dari kiri) dan Yuneswaran menerima sumbangan daripada rakan pembekal bagi menjayakan program Mydin Prihatin.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan sesi penyerahan sumbangan Mydin Prihatin oleh lebih 10 rakan pembekal Mydin.

Kempen ‘A Brighter Deepavali' merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat itu menerusi Mydin Prihatin dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat serta berkongsi manfaat dengan masyarakat.