SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap di sini pada Khamis bagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Kenderaan yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dilihat tiba di istana kira-kira jam 1.18 petang.
Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail sejak beliau diumumkan oleh Barisan Nasional(BN) peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar.
Desas-desus bertiup kencang mengatakan bahawa Ismail akan mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar, namun perkara itu masih belum dapat disahkan sehingga kini.
Kenderaan dinaiki Tuanku Muhriz tiba di istana jam 1.30 tengah hari dan disusuli kenderaan dinaiki Tunku Besar Sri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Terdahulu kenderaan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al'-Abidin Tuanku Muhriz tiba di istana jam 1.05 tengah hari.
Tiga pemimpin tertinggi BN turut dijangka akan menghadap Tuanku Muhriz jam 3 petang ini.
Tiga pemimpin berkenaan ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.