Tak perlu surat layang, lapor salah laku MBMB menerusi kod QR

Iklan
Jezlee (dua dari kanan) dan Shadan (empat dari kiri) pada peluncuran Laman Integriti di Taman Bunga Merdeka pada Khamis.

MELAKA - Orang ramai kini boleh melaporkan sebarang salah laku membabitkan anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) secara terus menerusi imbasan kod QR yang disediakan di Laman Integriti tanpa perlu menggunakan kaedah surat layang atau surat-menyurat.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kemudahan itu membolehkan aduan disalurkan secara terus kepada Unit Integriti MBMB untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap aduan yang diterima dijangka diproses dalam tempoh dua minggu sebelum tindakan sewajarnya diambil sekiranya dakwaan salah laku terbabit didapati benar.

"Selain menerapkan nilai integriti dalam kalangan masyarakat, pelajar dan pihak berkepentingan, kita turut menyediakan Laman Integriti yang mengandungi pelbagai informasi berkaitan aspek berkenaan.

Iklan

"Melalui laman ini, orang ramai boleh melaporkan sebarang salah laku dilakukan anggota MBMB menerusi kod QR yang disediakan dan laporan berkenaan akan terus diterima Unit Integriti untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Peluncuran Laman Integriti sempena Sambutan Hari Integriti Nasional 2026 di Taman Bunga Merdeka, Banda Hilir di sini pada Khamis.

Iklan

Program itu dirasmikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa Melaka, Jezlee Pit.

Shadan berkata, kemudahan berkenaan boleh diakses pada bila-bila masa menerusi sistem yang disediakan, sekali gus memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan salah laku tanpa perlu melalui proses aduan secara konvensional.

Katanya, sekiranya aduan diterima membabitkan agensi lain, pihak MBMB akan membantu menyalurkannya kepada agensi berkenaan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Shadan memaklumkan tiada kakitangan MBMB ditamatkan perkhidmatan sepanjang tahun ini berikutan isu integriti berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan tindakan sedemikian diambil, namun kes berkenaan masih dalam prosiding mahkamah.

Sementara itu, Jezlee berkata, peluncuran Laman Integriti itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh budaya integriti dalam kalangan penjawat awam, malah mendidik masyarakat termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama MBMB dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi memastikan nilai integriti dapat diterapkan dalam semua lapisan masyarakat.

"Program ini bukan sekadar untuk kakitangan awam, sebaliknya kita turut melibatkan pelajar supaya nilai-nilai baik ini dapat diterapkan sejak awal bagi membentuk generasi lebih baik.

"Objektifnya adalah untuk menerapkan integriti kepada semua lapisan masyarakat dan menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu rasuah," katanya.