SEREMBAN - Istana Hinggap di sini pada Khamis sekali lagi menjadi tumpuan selepas Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dikhabarkan akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu akan menghadap baginda jam 1.30 tengah hari.
Desas-desus juga mengatakan bahawa beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar, namun sehingga kini tidak dapat disahkan.
Sekiranya benar Ismail diterima menghadap, ini merupakan kali ketiga sejak beliau diumumkan oleh parti berkenaan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, dalam sesi menghadap Jumaat lalu, Ismail memaklumkan bahawa baginda telah menitahkan beliau supaya menjalankan tugas seperti biasa.
Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan media pada hari sama turut meminta Ismail menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.
Namun, pada malam hari sama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 24 ADUN daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu bersetuju untuk mematuhi arahan serta ketetapan pucuk pimpinan parti masing-masing.
Kenyataan itu sekali gus meletakkan Ismail dalam situasi tersepit, dan sehingga kini tiada kenyataan terbaharu dikeluarkan beliau.
Beliau juga baru sahaja keluar dari hospital selepas dimasukkan akibat demam panas.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga pemimpin tertinggi BN dijangka akan menghadap Tuanku Muhriz jam 3 petang ini.
Menurut sumber, tiga pemimpin berkenaan ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.