Lebih 2,000 banjiri Malam Citra Malaysia @ Penang 2026

Iklan
Lebih 2,000 pengunjung hadir Bertam Street Market bagi menyaksikan Malam Citra Malaysia @ Penang 2026.

KEPALA BATAS – Lebih 2,000 pengunjung membanjiri Bertam Street Market bagi menyaksikan Malam Citra Malaysia @ Penang 2026 yang menampilkan pelbagai persembahan seni, budaya dan sastera sempena sambutan Hari Malaysia pada 19 September lalu.

Lebih menarik, kemeriahan program anjuran Persatuan Penulis, Penyair dan Penggiat Seni Malaysia (PEMUISI) itu tidak terjejas walaupun hujan kerana penonton tetap setia mengikuti acara dengan berlindung di kaki lima premis perniagaan dan ruang berbumbung di hadapan Pasar Raya Sunshine Bertam.

Iklan
Iklan

Pembantu Khas kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Chan Soon Aun berkata, sastera, seni dan budaya bukan sekadar warisan generasi terdahulu, sebaliknya menjadi nadi yang membentuk jati diri, menyatukan masyarakat serta mencerminkan identiti sesebuah bangsa.

Menurutnya, kepelbagaian tersebut dizahirkan menerusi puisi, muzik, tarian, filem, makanan, pakaian tradisional dan pelbagai khazanah warisan lain yang membolehkan masyarakat mengenali, memahami serta menghargai kekuatan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Iklan

“Penganjuran Malam Citra Malaysia mempunyai peranan penting dalam memperkenalkan, memartabatkan dan mengangkat kepelbagaian budaya yang menjadi khazanah berharga negara.

“Program ini bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya menjadi wadah untuk masyarakat menghargai warisan, menyemai semangat perpaduan serta mempererat hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, golongan muda mempunyai peranan besar dalam memastikan budaya dan warisan negara terus hidup serta dihargai.

Menurutnya, anak muda bukan sahaja pewaris masa depan, malah menjadi penggerak kepada perkembangan seni dan budaya pada masa kini.

“Saya amat menggalakkan golongan muda untuk terus berani berkarya, mencipta dan mengetengahkan bakat masing-masing.

“Gunakan kreativiti, teknologi dan platform digital secara positif untuk memperkenalkan seni dan budaya Malaysia kepada masyarakat tempatan serta antarabangsa.

“Kita mahu melihat anak muda Malaysia bukan sekadar menjadi penonton, tetapi menjadi pencipta, penggiat dan duta budaya negara,” katanya.

Pelbagai persembahan menarik yang dipersembahkan dalam Malam Citra Malaysia @ Penang.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PEMUISI dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan Malam Citra Malaysia @ Penang 2026.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan yang lebih meluas daripada masyarakat, khususnya golongan muda.

Sementara itu, Presiden PEMUISI Malaysia, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, program berkenaan menjadi wadah untuk meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan dan identiti Malaysia.

Menurutnya, PEMUISI sebagai badan bukan kerajaan yang memperjuangkan sastera, seni dan budaya di peringkat nasional sentiasa memberi perhatian terhadap usaha menyemarakkan kegiatan seni dan budaya dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Matlamat penganjuran malam ini adalah untuk memartabatkan sastera, seni dan budaya dalam kalangan generasi muda serta menyemarakkan perpaduan dan kecintaan terhadap Malaysia.

“Kami berharap program ini akan mencetuskan fenomena baharu dalam dunia sastera khususnya dan masyarakat secara keseluruhannya.

“PEMUISI akan terus berusaha untuk ‘meremajakan PEMUISI’ serta menggalakkan golongan muda bergiat aktif dalam kegiatan puisi dan aktiviti sastera, seni serta budaya tanah air,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk ahli jawatankuasa, ahli PEMUISI, pelajar sekolah, kolej dan universiti, golongan belia serta anggota masyarakat yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.

Program itu mendapat kerjasama dan sokongan Sunshine Bertam Street Market, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Pulau Pinang, Pertubuhan Ikatan Perpaduan Anak Pulau Pinang dan Majlis Belia Daerah Seberang Perai Utara.

Selain itu, program berkenaan turut mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Perbadanan Pembangunan Belia Negeri Pulau Pinang, Pertubuhan Kelab Belia Perpaduan Seberang Perai dan Ritma Tari Permai.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan yang mencerminkan kepelbagaian seni dan budaya Malaysia termasuk puisi artistik, lagu puisi, tarian tradisional, tarian pelbagai kaum, boria, flashmob dan persembahan kumpulan muzik.

Antara yang mencuri tumpuan ialah persembahan puisi artistik oleh Rasmin Sagal dan kumpulan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang merupakan juara Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Ke-7 Tahun 2026.

Turut dipersembahkan ialah Colourguard De Laguna Merbok, Tarian Joghe Gempita Arjuna, tarian Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak oleh Kumpulan Kebudayaan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Boria Ritma Tari Permai dan Flashmob Malaysia Madani.

Orkes Delima Band turut memeriahkan acara selain persembahan Lemak Manis, Wau Wau Pepeh, lagu puisi serta lagu rakyat oleh Roslan Madun, Sobri Ibrahim dan kumpulan penyanyi.

Persembahan Klangit Band melengkapkan malam berkenaan yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni.

Program tersebut sekali gus memperlihatkan seni dan budaya sebagai medium yang mampu merentasi perbezaan, menyatukan masyarakat serta menyemarakkan rasa cinta terhadap tanah air, selain membuka ruang kepada golongan muda untuk terus berkarya dan mengangkat citra Malaysia.