Rapid Penang uji bas elektrik pertama di Pulau Pinang

Iklan
Sesi pandu uji pada 6 dan 7 Oktober itu melibatkan dua bas elektrik daripada pengeluar berbeza.

GEORGE TOWN – Rapid Penang bakal menguji bas elektrik pertama di Pulau Pinang menerusi sesi pandu uji selama dua hari mulai Selasa, sebagai langkah awal sebelum pelaksanaan penggantian bas secara berperingkat di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, sesi pandu uji pada 6 dan 7 Oktober itu melibatkan dua bas elektrik daripada pengeluar berbeza iaitu Foton berukuran 12 meter dan Golden Dragon berukuran 8.25 meter.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua bas berkenaan akan diuji secara berasingan di laluan terpilih bagi menilai kesesuaian dan keupayaan operasi dalam keadaan sebenar di Pulau Pinang.

"Antara aspek yang akan dinilai ialah keadaan laluan dan trafik, penggunaan tenaga, prestasi pengecasan serta tahap keselamatan dan keselesaan pengguna. Sesi pandu uji ini merupakan langkah penting sebelum bas elektrik diperkenalkan ke dalam laluan sedia ada.

Iklan

Tambah beliau lagi, Rapid Penang turut membuat persediaan bagi menyokong pengoperasian bas elektrik termasuk penyediaan infrastruktur pengecasan, kemudahan penyelenggaraan, latihan kakitangan serta keperluan sokongan operasi.

"Pengoperasian bas elektrik akan dilaksanakan secara berperingkat selepas sesi pandu uji selesai manakala tahap kesiapsiagaan dan penambahbaikan operasi akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kepada pengguna.

Iklan

Rapid Penang bakal menguji bas elektrik pertama di Pulau Pinang menerusi sesi pandu uji selama dua hari mulai Selasa.

"Rapid Penang kini berada dalam fasa pertama perolehan sebanyak 75 bas elektrik dengan penerimaan kenderaan itu dilaksanakan secara berperingkat sehingga Mac 2027," ujarnya.

Syahrul berkata, secara keseluruhannya, program penggantian bas di Pulau Pinang melibatkan 240 bas elektrik dan 70 bas diesel baharu.

"Inisiatif itu turut selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 bagi menyokong usaha memperluas penggunaan pengangkutan awam rendah karbon.

"Ia juga menyokong usaha Kerajaan Pulau Pinang menerusi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang serta Agenda Hijau Pulau Pinang untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri terhijau di Malaysia menjelang 2030," katanya lagi.