Insiden video tular: Ketua Pengarah AKPS tahan ‘ulat’ warga asing depan mata

Iklan
Mohd Shuhaily (kiri) pada sidang media pada Isnin.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Insiden video tular membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berlaku ketika beliau menjalankan pemeriksaan terhadap individu disyaki sindiket 'ulat' warga asing.

Mohd Shuhaily berkata, ketika kejadian beliau dan pasukan baru selesai menjalankan pemantauan persiapan menjelang perlumbaan Formula 1 (F1) hujung minggu ini sebelum melakukan pemantauan kegiatan ulat susulan banyak aduan diterima.

Iklan
Iklan

"Kita menahan seorang sindiket ulat warga asing dan kemudian kita bawa ke bilik pemeriksaan bagasi kepunyaan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC)," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan menerusi video tular terbabit, individu mirip Mohd Shuhaily kelihatan memarahi individu lain.

Iklan

Malah dalam video terbabit, kepala mangsa turut dipegang dengan aksi agak keras. Pada masa sama, tular salinan dakwaan individu yang mendakwa dikasari Mohd Shuhaily.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily menjelaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual pada ketika itu melibatkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA sahaja.

Iklan

"Pegawai AKPS kemudian mendekati kedua-dua individu terbabit dan mendapati mereka sedang membuat rakaman menggunakan telefon bimbit masing-masing.

“Arahan telah diberikan kepada mereka untuk memadam rakaman berkenaan dan saya telah memberikan amaran yang paling tegas,” katanya.

Mengulas mengenai video yang tular, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung rakaman berkenaan termasuk pihak yang menyebarkannya.

"Rakaman yang tular itu juga dipercayai bukan daripada sumber asal sebaliknya dirakam semula menggunakan peranti lain sebelum disebarkan.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai tujuan rakaman itu dibuat atau siapa yang menyebarkannya. Saya serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, dua laporan polis telah dibuat terhadapnya selepas kejadian tersebut, termasuk satu laporan yang dibuat pada kira-kira jam 5 pagi pada Rabu.

“Saya dan pasukan telah berbincang dan membuat satu laporan polis untuk mengatakan bahawa ada usaha mungkin mencemar nama ataupun imej AKPS secara amnya dan khususnya nama saya,” katanya.

Mengenai dakwaan berlaku kontak fizikal, beliau enggan mengulas dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan menerima apa jua keputusan terhadapnya.

“Saya tak nak mahu mengulas sama ada kontak tersebut berlaku ataupun tidak kerana nanti ia akan menjadi ‘my words against his word’... tak habis,” katanya.