AJK UMNO Pandan didakwa buat hantaran jelik terhadap Anwar

Iklan
AJK UMNO Bahagian Pandan didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.

SEPANG – Ahli Jawatan Kuasa (AJK) UMNO Bahagian Pandan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.

Syed Rosli Syed Harman, 50, yang juga Ketua UMNO Cawangan Pandan Tengah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu selaku orang kena saman (OKS) didakwa menggunakan akaun aplikasi TikTok atas nama 'syedroslijamalullail' secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik melampau terhadap Anwar, dengan niat menyakitkan hati mana-mana orang.

Syed Rosli hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Selasa dengan ditemani peguamnya. Foto Sinar Harian

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 10.50 pagi 18 Mac 2025 dan hantaran berkenaan dilihat pada hari sama jam 8.30 malam di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Uzair Rifqi Abdul Rahim yang mewakili OKS, merayu jaminan ditetapkan sebanyak RM3,000 sahaja.

Beliau berkata, anak guamnya bekerja sebagai pemandu e-hailing dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan pendapatan bulanan yang tidak tetap.

Katanya, Syed Rosli perlu menanggung isteri dan dua anak berusia 20 serta tujuh tahun selain bertanggungjawab menjaga bapa mentuanya yang sakit.

"Anak guam juga mempunyai masalah kesihatan iaitu darah tinggi dan diabetes yang memerlukan pemantauan serta pengambilan ubat secara berterusan.

"Dia tiada rekod jenayah lampau dan sentiasa memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan MCMC," katanya menambah pembelaan akan membuat representasi berhubung pertuduhan yang dihadapi OKS.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Raja Shahril Anuar membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Januari 2027 untuk sebutan semula bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan representasi.