Diarah tinggalkan kad ATM di gerai nasi lemak, guru rugi RM748,326

Iklan
Mangsa diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar kakitangan hospital dan pegawai polis Bukit Aman. Gambar hiasan

BATU PAHAT – Seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di sini kerugian RM748,326.50 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai kakitangan hospital dan pegawai polis Bukit Aman.

Mangsa berusia 54 tahun itu dipercayai diperdaya sehingga menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya kepada sindiket berkenaan pada 3 September lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada penghujung Ogos lalu yang mendakwa ada pihak lain menggunakan namanya untuk membuat tuntutan insurans.

Menurutnya, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman sebelum menawarkan bantuan membuat laporan polis secara dalam talian.

Iklan

“Suspek meminta mangsa menyerahkan kad ATM bank miliknya kononnya untuk siasatan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

“Oleh kerana takut, mangsa mengikut setiap arahan diberikan termasuk meletakkan dan meninggalkan kad ATM miliknya di sebuah gerai nasi lemak bersebelahan rumah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pada minggu berikutnya, mangsa membuat semakan akaun bank dan mendapati terdapat beberapa transaksi pemindahan wang kepada penama tidak dikenali berjumlah RM673,326.50.

Katanya, pada 4 November lalu, mangsa turut memasukkan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat menggunakan mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM) berjumlah RM75,000.

Mangsa hanya menceritakan perkara itu kepada kakaknya pada 15 November lalu sebelum dimaklumkan bahawa dirinya sudah ditipu.

“Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM748,326.50,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan daripada individu tidak dikenali yang membuat pengakuan atau dakwaan kononnya melibatkan tindakan jabatan atau agensi kerajaan tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.

Orang ramai juga boleh mengikuti laman Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial.