SUNGAI PETANI - Tiga lelaki warga Pakistan diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah membantu menguruskan premis judi awal bulan lalu.
Majistret Noor Farah Hazwani memerintahkan hukuman berkenaan terhadap Ali Raza, 21, Muhammad Azhar, 21, dan Mian Hamid Ali, 23, sebaik pengakuan bersalah direkodkan.
Bagaimanapun, sekiranya gagal membayar denda, kesemua mereka diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan lagi.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama lima orang yang masih bebas didakwa membantu menguruskan sebuah premis di Aman Square, di sini sebagai rumah perjudian terbuka bagi perjudian atas talian.
Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 12.25 pagi bertempat di premis berkenaan 2 November lalu.
Ketiga-tiga tertuduh telah melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) dan boleh dihukum bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan hendaklah juga dihukum penjara tidak lebih tiga tahun selain denda tambahan tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin perjudian yang disita.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor R Sivakumar.