Kos diesel lori sampah KDEBWM cecah RM60,000 sehari

Iklan
Ramli (kanan) diringi Pengerusi Caltex Malaysia, Leong Jee Wong (dua dari kanan) mencuba penggunaan Caltex StarCard selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik KDEB Waste Management dan Caltex Malaysia di sini pada Rabu.

SHAH ALAM – Kos diesel bagi operasi kira-kira 500 lori milik kontraktor KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dianggarkan mencecah hampir RM60,000 sehari, sekali gus mendorong syarikat itu memperkenalkan penggunaan kad pintar bagi mengawal perbelanjaan dan mengurangkan risiko ketirisan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, penggunaan Caltex StarCard membolehkan pihaknya memantau penggunaan diesel setiap lori secara lebih sistematik, termasuk lokasi, masa dan jumlah bahan api yang diisi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, langkah itu penting memandangkan penggunaan wang tunai sebelum ini berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan atau ketirisan.

“Kita boleh membuat analisis sama ada lori itu benar-benar digunakan untuk kawasan seliaan atau digunakan bagi tujuan lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik KDEB Waste Management dan Caltex Malaysia di sini pada Rabu.

Iklan

Ramli berkata, setiap lori KDEBWM secara purata bergerak antara 80 hingga 100 kilometer sehari bagi menjalankan operasi kutipan sampah di kawasan perumahan, premis perniagaan dan kawasan komersial sebelum sisa dihantar ke tapak pelupusan.

Menurutnya, jika 500 lori menggunakan sehingga 10,000 liter diesel sehari dengan purata harga RM5.43 seliter, jumlah kos operasi bahan api boleh mencecah hampir RM60,000 sehari.

Iklan

“Pengurusan diesel ini penting bagi memastikan kelangsungan operasi semua lori KDEBWM.

“Jika dahulu kita memberikan wang tunai kepada pemandu, mungkin berlaku keadaan di mana minyak yang sepatutnya diisi penuh tidak diisi sepenuhnya, sekali gus boleh menyebabkan kerugian dan ketirisan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramli memaklumkan sebanyak 452 subkontraktor KDEBWM telah menerima kad pengisian minyak tersebut bagi memudahkan urusan mendapatkan diesel di rangkaian stesen Caltex di seluruh Selangor.

Katanya, terdapat kira-kira 92 stesen Caltex di negeri itu yang boleh digunakan oleh kontraktor KDEBWM bagi menyokong operasi lori di pelbagai daerah.

“Melalui kad ini, kita dapat memantau penggunaan minyak setiap hari, mingguan dan bulanan, selain membantu subkontraktor menguruskan kos operasi mereka dengan lebih berkesan.

“Kita juga berharap penggunaan diesel Euro 5 dapat membantu meningkatkan kecekapan enjin serta menjimatkan penggunaan bahan api,” katanya.

Ramli berkata, KDEBWM ketika ini mempunyai kira-kira 1,300 lori dan syarikat itu turut membuka peluang kepada penyedia bahan api lain untuk bekerjasama selepas melalui proses penilaian yang ditetapkan.

Menurut beliau, lebih banyak pilihan pembekal penting bagi memastikan KDEBWM memperoleh perkhidmatan terbaik di samping memudahkan kontraktor mendapatkan bekalan bahan api ketika menjalankan operasi di seluruh Selangor.