SHAH ALAM - Penggunaan dua lori kompaktor elektrik oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dioksida antara 10 hingga 20 tan setahun bagi setiap unit berbanding penggunaan lori diesel.
Pelaksanaan inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama KDEBWM dengan Horwing Technology Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi tempatan yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengenalan teknologi kenderaan tenaga baharu, termasuk penyelesaian elektrifikasi kenderaan komersial.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penggunaan lori elektrik itu berpotensi mengurangkan pelepasan karbon sekitar 25 hingga 40 peratus berbanding lori diesel, selain menjimatkan kos tenaga antara RM25,000 hingga RM40,000 setahun bagi setiap unit.
“Ini satu percubaan selama enam bulan, sekiranya kita gunakan di lapangan dan didapati sesuai, kita akan pertimbangkan pada masa hadapan untuk memperbesarkan skalanya ke seluruh negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Lori Kompaktor Elektrik KDEBWM di Dewan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM, Datuk Ng Suee Lim, Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir dan Pengerusi Horwing Technology Sdn Bhd, Adnan Ahmad.
Dalam sidang akhbar, Ramli berkata, kedua-dua lori berkenaan akan digunakan terlebih dahulu bagi mengangkut sisa pepejal dari kawasan kilang, industri, komersial dan institusi menerusi operasi anak syarikat KDEBWM.
Menurut Ramli, percubaan tersebut juga bertujuan menilai kesesuaian reka bentuk lori dengan bentuk muka bumi di Selangor, selain keupayaan kapasiti muatan dan pergerakan di kawasan operasi sebelum digunakan secara meluas.
“Kami nak buat percubaan dahulu kerana reka bentuk lori ini perlu sesuai dengan bentuk muka bumi di Selangor, selain itu kami akan melihat keupayaan kapasiti dan kebolehannya bergerak dalam kawasan operasi,” katanya.
Beliau menjelaskan, lori kompaktor berkenaan menggunakan kuasa bateri sepenuhnya tanpa memerlukan diesel dan mempunyai jarak perjalanan dianggarkan antara 180 hingga 220 kilometer sehari bergantung kepada beban serta keadaan penggunaan.
Pengecasan menggunakan sistem arus terus mengambil masa antara dua hingga empat jam, manakala ujian di China menunjukkan kenderaan berkenaan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 375 kilometer.
Tambah beliau, KDEBWM akan memulakan penggunaan lori berkenaan di Shah Alam selepas mengambil kira kesesuaian operasi, termasuk kemudahan pengecasan yang disediakan di depoh syarikat.
“Sekiranya sesuai digunakan, walaupun kos permulaannya agak tinggi berbanding lori lain, dalam jangka panjang ia boleh menjimatkan,” katanya.