SHAH ALAM - Premis dipercayai menjadi pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam yang tidak mengikut hukum syarak di Puchong dijangka didakwa pada minggu hadapan atas beberapa kesalahan, termasuk mengikut peruntukan enakmen syariah Selangor.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, premis yang dipercayai beroperasi sejak 2004 itu juga akan didakwa mengikut kesalahan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk berkaitan aspek pelesenan.
Iklan
Iklan
"Seawal minggu depan, isu premis di Puchong ini ada sebutan kes dan pendakwaan bawah PBT dan juga enakmen undang-undang syariah,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor, pada Khamis.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin sebelum ini dilaporkan berkata, premis dipercayai menjadi lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah di Puchong didapati menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam proses pengendalian ayam.
Di samping itu, JAIS merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Ops Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong pada jam 12.40 tengah malam, 31 Oktober lepas. - Bernama