SHAH ALAM - Sebanyak 45,735 daripada 47,948 calon yang hadir menduduki Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2026 di Selangor memperoleh keputusan lulus atau bersamaan 95.3 peratus.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, sebanyak 7,869 calon atau 16.1 peratus memperoleh pangkat Mumtaz (cemerlang), manakala 20,810 calon (42.6 peratus) mencapai pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik).
Sebanyak 11,750 calon (24 peratus) memperoleh pangkat Jayyid (baik), 5,291 calon (10.8 peratus) mendapat pangkat Maqbul (lulus) manakala 2,228 calon (4.6 peratus) berada pada pangkat Musaadah (perlu bimbingan).
"Kejayaan pendidikan Islam tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan pencapaian akademik, sebaliknya perlu disertai penguasaan ilmu agama, penghayatan nilai Islam dan pembentukan sahsiah yang baik,” katanya.
Mohammad Fahmi berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan PSRA 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.
Dari segi pencapaian mata pelajaran, beliau berkata, Ujian Tilawah dan Hafazan mencatatkan kadar kelulusan tertinggi, iaitu 99.9 peratus diikuti Bahasa Arab (95.7 peratus), Jawi, Imlak dan Khat (95.4 peratus), Tauhid dan Fekah (95.1 peratus), Akhlak dan Sirah (94.9 peratus) serta Tajwid (94.4 peratus).
Mohammad Fahmi berkata, bagi tahun ini, sebanyak 48,886 calon berdaftar untuk menduduki PSRA dengan kadar kehadiran 98.1 peratus melibatkan 793 sekolah dan 605 pusat peperiksaan di seluruh Selangor.
Mengenai isu ketidakhadiran calon, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Shahzihan Ahmad berkata pihaknya sedang meneliti inisiatif berkaitan pelaksanaan akreditasi peperiksaan yang berpotensi mengurangkan masalah itu pada masa depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, JAIS sedang membangunkan pendekatan baharu menerusi Globalisasi Pentaksiran Pendidikan Islam JAIS bagi memastikan sistem pentaksiran pendidikan Islam terus relevan, berkualiti dan diyakini.
Beliau berkata, inisiatif itu memberikan penekanan kepada pembangunan kerangka pentaksiran pendidikan Islam abad ke-21, pengukuhan sistem penjaminan kualiti pentaksiran serta pengenalan kredential pendidikan Islam yang berpotensi menyokong mobiliti pembelajaran ke peringkat lebih luas.
"Pendekatan ini turut memberi tumpuan kepada penilaian menyeluruh yang merangkumi penguasaan ilmu, aplikasi, kemahiran berfikir, amalan, adab dan pembentukan sahsiah murid,” katanya. - Bernama