KPM sedia 86 bilik darjah di KL tampung kemasukan murid Tahun satu 2027

Iklan
Sebanyak 86 bilik darjah disediakan di 48 sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menampung kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 86 bilik darjah disediakan di 48 sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menampung kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan penyediaan bilik darjah itu dilaksanakan menerusi kaedah Ubah Suai dan Naik Taraf (USNT) serta Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Iklan
Iklan

"Sehingga 17 November 2026, sebanyak 81 bilik darjah telah siap, manakala baki lima bilik darjah yang dilaksanakan melalui kaedah IBS dijangka siap selewat-lewatnya pada penghujung Disember 2026,” menurut kenyataan KPM di Facebook pada Khamis.

KPM memaklumkan inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 3,820 murid melibatkan tiga daerah iaitu Bangsar Pudu (45 sekolah), Keramat (25) dan Sentul (16).

Iklan

Kalender Akademik Tahun 2027 bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan akan bermula 4 Januari hingga 2 Disember 2027 bagi sekolah di negeri Kumpulan A manakala 4 Januari hingga 3 Disember 2027 bagi sekolah di negeri Kumpulan B.

Kumpulan A melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B bagi sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. - Bernama

Iklan