Pelajar maut di asrama: Seorang lagi senior ditahan, beberapa pelajar tampil dakwa pernah dibuli suspek pertama

Iklan
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad memberi penerangan kepada pengamal media berhubung kes mendatangkan kecederaan melibatkan seorang pelajar sehingga mengakibatkan kematian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.

SEREMBAN – Polis menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sebuah sekolah di Kuala Pilah bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di asrama sekolah berkenaan pada 25 September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pelajar terbabit ditahan selepas siasatan lanjut dijalankan terhadap kes berkenaan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil siasatan lanjut turut mendapati terdapat beberapa pelajar yang tampil mendakwa mereka pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan.

“Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul keterangan berhubung dakwaan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada Selasa.

Iklan

ARTIKL BERKAITAN: Pelajar lelaki ditemui meninggal dunia di asrama sekolah dipercayai dibuli

Pelajar meninggal dunia di asrama: Pemimpin politik desak siasatan segera dakwaan buli

Iklan

Pelajar meninggal dunia di asrama: Fadhlina sahkan seorang pelajar ditahan

Pelajar meninggal dunia di asrama: Polis siasat kes bunuh, tahan remaja 16 tahun

Barangan kes yang dikongsikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan berhubung kejadian melibatkan seorang pelajar sehingga mengakibatkan kematian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini. Foto Bernama

Alzafny berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipanggil oleh suspek pertama kerana didakwa menghisap vape, dengan tindakan yang dikenakan dipercayai berbentuk hukuman oleh pelajar senior terhadap pelajar junior.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Maghrib di asrama sekolah berkenaan.

“Semua pelajar sepatutnya kembali ke bilik masing-masing untuk sesi ulang kaji pelajaran selepas solat Maghrib.

“Namun, hasil siasatan mendapati mangsa telah dipanggil oleh suspek ke biliknya yang terletak di tingkat dua,” katanya.

Menurut beliau, mangsa dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan getah paip di dalam bilik berkenaan.

Alzafny berkata, sebelum kejadian, mangsa diarahkan mengambil getah paip tersebut dari bilik air sebelum dibawa masuk ke bilik suspek.

“Sejurus masuk ke dalam bilik, mangsa dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki menggunakan getah paip.

“Mangsa kemudian diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga rebah,” katanya.

Menurut beliau, apabila mangsa terbaring, suspek membawa pelajar itu ke sebuah katil dan cuba memberikan bantuan pernafasan selepas mendapati keadaannya semakin kritikal.

“Suspek kemudian menghubungi warden asrama untuk memaklumkan keadaan mangsa sebelum pelajar itu dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Alzafny berkata, pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang pendarahan luaran, namun kecederaan sebenar yang dialami masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, keputusan bedah siasat juga belum dapat menentukan punca kematian sementara menunggu keputusan analisis sampel spesimen yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau berkata, setakat ini polis telah mengambil 68 keterangan saksi yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan kes berkenaan.

“Seramai 51 pelajar, empat guru dan lima warden telah memberikan keterangan yang konsisten mengenai kejadian tersebut.

“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa lagi saksi yang akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, berdasarkan rekod polis, tiada laporan berkaitan kejadian buli atau insiden seumpamanya pernah diterima sebelum ini di sekolah berkenaan.

“Namun, hasil siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa pelajar yang tampil mendakwa mereka pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan.

“Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul keterangan berhubung dakwaan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Perbuatan sedemikian boleh menjejaskan proses siasatan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.