Lelaki tular pijak al-Quran dipenjara 12 bulan, denda RM250,000

Iklan
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum (12 November) dan mengarahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

KUANTAN - Seorang lelaki yang tular selepas memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial, dipenjara 12 bulan dan didenda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial, Februari lepas.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu semalam selepas S Vikneswaran, 21, yang juga bekas pelajar sebuah universiti mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum (12 November) dan mengarahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Hakim itu berkata, hukuman yang dikenakan bukan sahaja bagi memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga sebagai peringatan kepada orang awam supaya tidak melakukan perbuatan serupa.

Iklan

Peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman yang mewakili Vikneswaran memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan difailkan atas alasan anak guamnya mempunyai tarikh-tarikh untuk rawatan perubatan (psikiatri).

Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang Mohd Sabri Othman membantah kerana tiada keadaan khas yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan pembelaan itu.

Iklan

Sehubungan itu tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam iaitu al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 22 Februari lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menggunakan akaun laman portal Threads"ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu dikesan selepas bapa tertuduh iaitu pengadu dalam kes dihubungi anak perempuannya pada 24 Februari lepas yang memaklumkan mengenai satu video tular di aplikasi Threads yang memaparkan perbuatan tertuduh.

Pengadu kemudian telah menghubungi tertuduh mengenai video tular tersebut dan tertuduh mengaku kepada pengadu yang video tular itu adalah dirinya (memijak al-Quran).

Siasatan mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada 22 Februari di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman di sini, akibat tidak berpuas hati selepas dikritik menggunakan bahasa kesat oleh pengguna media sosial lain.

Tertuduh kemudiannya ditangkap pada jam 3.30 petang, 25 Februari manakala sebuah telefon bimbit milik tertuduh serta senaskhah al-Quran dalam kes itu turut dirampas pihak polis bagi tujuan siasatan.

Hasil analisis di media sosial dan laporan syarikat telekomunikasi mengesahkan akaun serta nombor telefon yang digunakan adalah milik tertuduh dan keluarganya. - Bernama