Wanita hilang ditemukan maut di sungai

Iklan
Mayat wanita yang ditemukan terapung di Sungai Johor dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk prosedur siasatan lanjut.

KOTA TINGGI – Seorang wanita tempatan yang dilaporkan hilang sejak Khamis ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, laporan kehilangan wanita berkenaan diterima pada jam 5.36 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kali terakhir dikesan berada di sekitar bandar Kota Tinggi.

"Bertindak atas laporan diterima, satu kertas siasatan orang hilang dibuka dan sepasukan pegawai polis diketuai Ketua Polis Balai Kota Tinggi digerakkan bagi mengesan keberadaan mangsa.

Iklan

Operasi mencari dan menyelamat mangsa di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh, Kota Tinggi.

"Pada jam 3.45 petang, Jumaat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Yusof berkata, pemeriksaan lanjut oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Kota Tinggi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Waris mangsa yang dipanggil ke lokasi untuk pengecaman awal turut mengesahkan mayat wanita yang ditemukan itu adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dibantu Persatuan Nelayan Kecil Kampung Makam, Kota Tinggi.

Ujarnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk prosedur siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Dalam pada itu, Yusof merakamkan penghargaan kepada Persatuan Nelayan Kecil Kampung Makam, Kota Tinggi atas kerjasama membantu operasi mencari dan menyelamat berkenaan.