PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Rosli memulakan kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dengan cemerlang apabila berjaya menyarung Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia selepas tamat Peringkat 1, hari ini.
Pelumba berusia 27 tahun itu yang memimpin carta berkenaan menerusi dua zon pecutan dalam perlumbaan sejauh 193 kilometer (km) dari Shah Alam ke Kampar mengakui pada awalnya beliau merancang untuk melakukan pecahan kelompok.
"Memang Aiman rancang untuk membuat pecahan dan berjaya mendapatkan mata di dua zon pecut.
"Di zon ketiga Teluk Intan, Aiman sudah terlalu jauh daripada kelompok hadapan, jadi saya perlu kayuh dengan bijak untuk menjimatkan tenaga bagi perlumbaan esok,” katanya ketika ditemui media selepas perlumbaan, hari ini.
Muhammad Nur Aiman menamatkan saingan pembukaan secara penamat beramai-ramai di tempat ke-70 daripada 119 pelumba dengan masa 4 jam 6 minit 53 saat (s), namun kejayaan meraih tempat ketiga di zon pecut Ijok dan tempat pertama di Kuala Selangor meletakkannya di tangga teratas kategori Asia dengan 4:06:49s.
Kedudukan kedua carta Pelumba Terbaik Asia menjadi milik wakil Aisan Racing Team Hijiri Oda dengan 4:06:53s, manakala pelumba Malaysia Pro Cycling Mohamad Izzat Hilmi Abdul Jalil, pelumba tempatan terbaik pada peringkat pembukaan, berada di tempat ketiga dengan catatan masa sama.
Saingan Peringkat 2 esok bakal menyaksikan peloton berdepan cabaran sejauh 145.6 km dari Taiping ke Gunung Jerai yang menawarkan tiga zon pecutan di Selama pada kilometer ke-41, Padang Serai dan Aman Jaya, selain dua zon pendakian di KM 53.6, Selama serta Gunung Jerai.
Laluan pendakian ke Gunung Jerai itu istimewa kerana disenaraikan dalam kalendar perlumbaan berprestij berkenaan buat julung-julung kali sejak diperkenalkan pada 1996.
Menyedari laluan berbukit esok, Muhammad Nur Aiman yang juga juara kebangsaan tujuh kali berturut-turut menegaskan pentingnya mengurus tenaga dengan baik.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan harapan agar rakan sepasukannya Kee Zhe Yie yang kini menduduki tempat kedua carta Raja Bukit di belakang pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team Petr Rikunov dapat meneruskan momentum cemerlang.
"Saya berharap Zhe Yie dapat melakukan yang terbaik untuk pasukan dan dirinya sendiri,” katanya. - Bernama