KECEMERLANGAN dalam bidang sukan tidak menghalang atlet kebangsaan untuk terus mengejar pendidikan tinggi apabila Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi pilihan bagi meneruskan pengajian dan membina masa depan.
Atlet olahraga kebangsaan, Alia Batrisya Nasaruddin, bakal melanjutkan pengajian dalam program Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan.
Alia yang mula menceburi olahraga sejak berusia 12 tahun dalam acara lompat jauh dan lompat kijang berkata, antara pencapaian terbesarnya ialah mewakili Malaysia ke Sukan SEA tahun lalu.
Katanya, UPM dipilih kerana menawarkan keseimbangan antara akademik dan sukan, selain menyediakan persekitaran yang aktif dalam bidang berkenaan.
Beliau ditemui pada sesi beramah mesra Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu selepas sidang media kemasukan pelajar baharu Sesi Akademik 2026/2027 di Serdang baru-baru ini.
Alia menyasarkan untuk meningkatkan prestasi, memperbaiki catatan peribadi serta mewakili UPM dalam pertandingan pada peringkat lebih tinggi, selain menyumbang kepada pasukan olahraga UPM.
Sementara itu, atlet bola jaring kebangsaan, Siti Nur Hidayatul Akhma Suhhaimi, 20, turut memilih UPM untuk melanjutkan pengajian dalam program Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan.
Akhma yang mula bermain bola jaring sejak berusia 11 tahun berkata, pada awalnya beliau kurang berminat dalam sukan itu sebelum mendapat sokongan daripada guru, ibu bapa dan jurulatih.
“Selepas mendapat sokongan daripada guru, ibu bapa dan jurulatih, saya mula minat untuk teruskan bermain bola jaring hingga sekarang,” katanya.
Antara pencapaian terbesar Akhma ialah memenangi pingat emas Sukan SEA 2025 di Thailand, naib juara Remaja Asia 2025 dan emas SUKMA 2026.
Bagi Akhma, UPM memberi ruang untuk meneruskan pengajian sambil meningkatkan prestasi sebagai atlet.
Pemilihan Pendidikan Jasmani pula selari dengan cita-citanya untuk menjadi guru atau pensyarah dalam bidang berkenaan pada masa hadapan.
“Saya bercita-cita untuk menjadi cikgu atau pensyarah pada masa akan datang dalam bidang Pendidikan Jasmani. Jadi, program ini sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk capai cita-cita saya pada masa akan datang,” katanya.
Kedua-dua atlet itu menyasarkan untuk terus meningkatkan prestasi dalam sukan serta memanfaatkan peluang sebagai mahasiswa UPM bagi membina masa depan akademik dan kerjaya masing-masing.