Peluang pemain B-16 berlatih bersama Safee Sali

Iklan
Safee bersama lebih 160 pemain yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Belia B-16 Piala Safee Sali di Putrajaya pada Ahad.

LEGENDA bola sepak negara, Safee Sali membuka peluang kepada pemain muda Bawah 16 Tahun (B-16) untuk mengembangkan potensi apabila menawarkan latihan bersama bekas penyerang kebangsaan itu kepada pemain terbaik Kejohanan Piala Safee Sali 2026.

Safee berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi platform mengenal pasti bakat muda yang berpotensi untuk diberikan pendedahan lebih luas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemain terbaik yang dikenal pasti sepanjang kejohanan berkenaan berpeluang menjalani latihan bersamanya selepas ini.

“Tahun ini pemain terbaik dalam kejohanan ini akan diberi peluang untuk mendapat lebih pendedahan dan berlatih bersama saya selepas ini, Insya-ALLAH,” katanya.

Iklan

Kejohanan yang berlangsung di Putrajaya pada Ahad itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai sebahagian usaha menggalakkan pembangunan bola sepak dalam kalangan pemain muda.

Pertandingan tersebut menghimpunkan 16 pasukan melibatkan kira-kira 160 pemain dari Perak, Johor, Selangor dan sekitar Lembah Klang.

Iklan

Safee berkata, beliau menggunakan pendekatan permainan sebelah kecil atau 'small-sided game' bagi membolehkan pemain menunjukkan kemampuan masing-masing dalam situasi permainan yang lebih kompetitif.

Katanya, format itu juga memberi peluang kepada pemain untuk melakukan lebih banyak sentuhan bola selain menguji keupayaan mereka membuat keputusan dalam ruang permainan yang lebih kecil.

Beliau turut menyambut baik penyertaan pasukan dari luar Lembah Klang yang disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha memperluas pencarian bakat muda.

Kejohanan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 kepada pasukan juara, RM750 kepada naib juara dan RM500 bagi tempat ketiga.