Sukan Asia 2026: Ketiadaan Azeem, Danish jejas misi 4x100m ke final

Iklan
Atlet olahraga negara Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif, Muhammad Haziq Mohd Akhir dan Muhammad Umaira Subri ketika beraksi dalam Saringan 1 Acara 4×100 Meter Lelaki Pusingan 1 pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium hari ini. - Foto: Bernama

PERUBAHAN saat akhir susulan kecederaan dua pelari utama Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyaksikan misi kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara untuk mara ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian hari ini.

Azeem terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika final 100m pada Jumaat lepas manakala Danish menarik diri juga akibat kecederaan sejurus menamatkan saingan final 200m yang turut berlangsung di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium hari ini.

Iklan
Iklan

Dua pelari itu digantikan oleh Mohamad Armin Zahryl Abd Latif dan Muhammad Haziq Mohd Akhir untuk bergandingan dengan Pengiran Aidil Auf Hajam serta Muhammad Umaira Subri.

Kuartet negara menamatkan saringan satu di tempat kelima dengan catatan 39.99 saat (s) sekali gus gagal berada dalam kelompok layak ke final.

Iklan

China muncul juara saringan dengan catatan 38.14s, diikuti Taiwan (38.80s) dan Arab Saudi (39.90s).

Armin mengakui perubahan pada saat akhir memberikan cabaran tersendiri, namun tetap berpuas hati dengan usaha pasukan untuk menghabiskan larian dengan baik.

Iklan

"Kalau ada Azeem dan Danish, mungkin catatan masa boleh diperbaik, tetapi saya tetap berpuas hati dengan prestasi larian pasukan hari ini kerana kuartet ini dibentuk pada saat akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Sementara itu, kuartet 4x100m wanita negara turut terkandas pada peringkat saringan selepas menamatkan saringan satu di tempat kelima dengan catatan 45.24s.

Kuartet dibarisi Nur Aishah Rofina Aling, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Fatin Ilyana Mat Nayan dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka itu membuat penampilan pertama mereka di pentas antarabangsa.

China mengungguli saringan dengan catatan 43.65s, diikuti Thailand (43.65s) dan Vietnam (44.06s).

Sementara itu, dalam acara 800m lelaki, Umar Osman turut gagal mara ke final meskipun mencatat masa terbaik peribadi 1 minit 48.74s untuk menduduki tempat keempat pada saringan satu.

Andre Anura Anuar pula tersingkir dalam kelayakan acara lompat jauh selepas hanya menduduki tempat kelapan Kumpulan B dengan catatan 6.49m. - Bernama