KAMPAR - Kerajaan Perak akan memperluas Kempen Internet Selamat dengan memasukkan modul kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan masyarakat lebih bersedia menghadapi risiko digital selari perkembangan pesat teknologi.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, elemen baharu itu termasuk pendedahan mengenai penyamaran suara menggunakan AI yang berpotensi memperdaya orang ramai, khususnya dalam kes penipuan dalam talian.
Menurutnya, modul berkaitan sebenarnya telah dibangunkan di peringkat Pusat Ekonomi Digital (NADI) dan akan diperluaskan dalam penganjuran program pada masa akan datang.
"Kempen kesedaran ini juga perlu dilaksanakan secara berterusan supaya masyarakat lebih peka terhadap ancaman internet tidak selamat seperti penipuan dan buli siber yang semakin berkembang seiring kemajuan digital," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan COMME Fest 2026 x Kempen Internet Selamat di Dewan Dato’ Azman Mahalan, Kuala Dipang di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perak, Mohd Irwan Mohamed.
Program turut dimeriahkan dengan aktiviti seperti taklimat pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), brisk walk, reruai pameran dan Jualan Rahmah.
Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, Kempen Internet Selamat sebelum ini memberi tumpuan kepada pelajar sekolah rendah, namun kini diperluaskan kepada masyarakat umum tanpa mengira peringkat umur.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat memahami modus operandi scammer termasuk taktik penggunaan pautan mencurigakan dan penyamaran identiti.
"Dalam sesi taklimat, kita jelaskan kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menekan pautan tidak dikenali serta sentiasa berwaspada dengan sebarang bentuk komunikasi yang meragukan," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan satu sesi taklimat berkaitan Akta Komunikasi akan diadakan pada Isnin ini melibatkan pelbagai agensi negeri sebagai usaha memperkukuh aspek keselamatan infrastruktur digital.