JAKARTA - Mahkamah Indonesia mengurangkan hukuman penjara pengasas bersama Gojek dan bekas Menteri Pendidikan, Nadiem Makarim, daripada 10 tahun kepada sembilan tahun selepas membenarkan sebahagian rayuannya dalam kes rasuah membabitkan perolehan komputer riba.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Jakarta pada Khamis selepas Nadiem mengemukakan rayuan pada 1 Julai lalu.
Nadiem sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Jun selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dalam perolehan Google Chromebook untuk sekolah di Indonesia sehingga menyebabkan kerugian negara sebanyak AS$125 juta (RM509.24 juta).
Hakim Catur Iriantoro berkata, mahkamah menolak permohonan Nadiem supaya semua pertuduhan digugurkan kerana keputusan terdahulu selaras dengan fakta yang dibuktikan ketika perbicaraan, bukti dikemukakan serta keterangan saksi.
Mahkamah bagaimanapun mengurangkan jumlah restitusi yang perlu dibayar Nadiem daripada 809 bilion rupiah kepada 548 bilion rupiah (RM124.64 juta).
Selepas prosiding, Nadiem melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu dan memaklumkan akan mengemukakan rayuan selanjutnya kepada Mahkamah Agung.
“Mangsa sekarang bukan hanya saya, tetapi kredibiliti sistem penguatkuasaan undang-undang di Indonesia,” katanya kepada pemberita.
Hakim turut mengekalkan keputusan terdahulu bahawa Nadiem mengubah syarat tender bagi memihak kepada Chrome, yang memberi manfaat kepada Google dan mengehadkan persaingan. - Agensi