SHANGHAI – Bukan semua pekerja mampu bertahan menghadapi kerenah pelanggan, apatah lagi jika perlu bekerja tanpa henti selama 24 jam. Namun, bagi enam robot yang ditugaskan mengambil alih operasi sebuah kedai serbaneka di Shanghai, China, cabaran sebenar bukan sekadar melayan pelanggan, sebaliknya membuktikan mereka layak menggantikan manusia.
Lebih menarik, eksperimen itu berakhir dengan dua daripada enam robot berkenaan ‘dipecat’ sebaik sahaja tamat penilaian prestasi selepas gagal memenuhi standard ditetapkan pihak pengurusan.
Eksperimen yang dijalankan pengeluar robot, Agibot itu bertujuan menguji sejauh mana teknologi robotik mampu berfungsi dalam persekitaran perniagaan sebenar, khususnya sektor peruncitan yang menuntut kecekapan, ketangkasan dan kebolehan berinteraksi dengan manusia.
Enam robot model G2 dikerahkan menjalani syif selama 24 jam yang turut disiarkan secara langsung bagi memperlihatkan kemampuan mereka mengendalikan operasi kedai serbaneka.
Cabaran bermula sebelum waktu makan tengah hari dan berlanjutan merentasi kesibukan pelanggan pada sebelah petang, suasana lebih tenang pada waktu malam sebelum kembali berdepan kesibukan ketika waktu sarapan pada keesokan harinya.
Sepanjang tempoh itu, robot berkenaan perlu melaksanakan pelbagai tugas rutin pekerja kedai serbaneka termasuk menyambut pelanggan, mengambil dan menyusun barangan di rak, membersihkan premis, membuang sampah serta menyediakan makanan dan minuman.
Namun, Agibot tidak mahu ujian itu sekadar menjadi demonstrasi teknologi yang kelihatan sempurna di hadapan kamera.
Syarikat berkenaan sengaja mengatur beberapa individu untuk bertindak sebagai pelanggan bermasalah bagi menguji tahap ketahanan serta keupayaan robot menangani situasi tidak dijangka.
Ada individu sengaja menghalang laluan robot, meletakkan objek di hadapan mesin berkenaan malah cuba mengambil bekas yang sedang dikendalikan mereka.
Kemahiran sosial robot turut diuji menerusi pertanyaan pelanggan, termasuk mengenal pasti minuman soda tanpa gula berbanding minuman soda biasa.
Dalam dunia peruncitan, situasi seperti itu mungkin perkara biasa bagi pekerja manusia. Namun, bagi robot yang bergantung kepada sistem kecerdasan buatan dan pengaturcaraan, setiap gangguan memerlukan tindak balas yang tepat.
1,730 tugasan, tetapi dua gagal ujian
Selepas menamatkan syif 24 jam, Agibot melaporkan keenam-enam robot berkenaan berjaya melaksanakan sebanyak 1,730 tugasan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 683 tugasan membabitkan menyambut pelanggan, 369 tugasan mengambil barangan dari rak dan 147 tugasan menghidangkan kopi panas.
Angka berkenaan mungkin kelihatan memberangsangkan, namun tidak semua robot berjaya memuaskan hati pihak pengurusan.
Hanya empat daripada enam robot memenuhi standard prestasi yang ditetapkan, manakala dua lagi gagal melepasi penilaian.
Salah sebuah robot yang dipecat didapati kurang inisiatif kerana membiarkan rak barangan kosong tanpa mengambil tindakan proaktif untuk menambah stok.
Sebuah lagi robot pula menunjukkan reaksi yang lebih mengejutkan apabila meninggalkan kedai selepas berdepan tong sampah yang sudah penuh.
Mesin itu berpatah balik, keluar dari premis dan enggan kembali bekerja.
Jika tindakan itu dilakukan pekerja manusia, mungkin ia dianggap sebagai tanda tidak puas hati atau keletihan selepas menjalani syif panjang.
Namun, dalam eksperimen ini, kedua-dua robot berkenaan menjadi contoh bahawa teknologi canggih tidak semestinya menjamin kecekapan dalam setiap keadaan.
Robot semakin canggih, tetapi belum mampu menggantikan manusia sepenuhnya.-Agensi