RAIPUR - Seorang lelaki berusia 27 tahun di India tergamak membunuh anak sepupunya yang berusia empat tahun sebelum mengeluarkan buah pinggang, paru-paru dan mata mangsa untuk dijual menerusi platform dalam talian selepas terpengaruh dengan kandungan media sosial.
Suspek dikenali sebagai Basudev dari Chhattisgarh ditahan pada Ahad selepas mayat mangsa disumbat di dalam guni dibuang ke dalam sebuah lubang di kawasan ladang di kampung Lodhenapath Mahua, daerah Jashpur.
Mangsa, Jitendra Ram dilaporkan hilang sejak Khamis lalu selepas bapanya, Ramjeet Ram, 36, membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Suspek yang merupakan sepupu sebelah ibu kepada pengadu itu juga sering berkunjung ke rumah keluarga berkenaan.
Ketika mencari anaknya bersama ahli keluarga lain pada Sabtu, Ramjeet menjumpai mayat anaknya dibalut dengan selimut dan kain tebal berhampiran ladang jagung.
Siasatan awal membawa kepada penahanan Basudev yang menetap di kampung berhampiran.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan pembunuhan itu dan mendakwa tidak berpuas hati dengan pendapatan hasil kerja buruh harian selain mahu memperoleh wang lebih lumayan.
Menurut pihak berkuasa, suspek sering melayari platform media sosial bagi mencari kaedah menjana pendapatan segera sebelum mendapat idea untuk mengeluarkan organ kanak-kanak untuk dijual.
Basudev dipercayai memperdaya mangsa sebelum membawanya ke beberapa lokasi. Suspek turut memberikan minuman alkohol kepada budak itu.
Selepas mangsa mabuk dan tertidur, suspek bertindak mengelar leher mangsa menggunakan pisau sebelum membelah tubuhnya untuk mengeluarkan buah pinggang, paru-paru dan mata. Organ berkenaan kemudian disimpan di dalam sebuah baldi plastik.
Berdasarkan keterangan suspek, polis menjumpai senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu, sebuah baldi plastik berisi organ mangsa dan beberapa bahan lain yang berkaitan dengan kes menggemparkan itu. Siasatan lanjut sedang dijalankan. - Agensi