FLORIDA - Sebuah pusat perlindungan cimpanzi di sini terpaksa menghantar makanan menggunakan dron kepada seekor dari 200 haiwan itu bermula minggu ini selepas kawasan premis berkenaan ditenggelami air akibat hujan lebat.
Bagaimanapun, kesemua haiwan dilaporkan berada dalam keadaan selamat, manakala paras air banjir mula surut dengan ketara pada Sabtu lalu.
Pengarah fasiliti tersebut, Mark Yohannan berkata, limpahan air terusan menyebabkan jalan dalaman yang biasanya digunakan untuk menghantar kira-kira 3,000 paun (1,361 kilogram) makanan cimpanzi setiap hari menggunakan kereta golf ditenggelami air.
"Sebuah kenderaan khas untuk meredah kawasan paya turut digunakan bagi membantu operasi penghantaran makanan, cuma kenderaan tersebut rosak tidak lama kemudian.
"Keadaan menjadi lebih mencabar apabila seekor cimpanzi berusia 38 tahun bernama Kaleb masih berada di kawasan luar yang terputus hubungan akibat dikelilingi air banjir," katanya.
Yohannan menambah, organisasi itu sebelum ini telah membeli sebuah dron penghantaran sebagai persediaan menghadapi kecemasan sedemikian.
Kakitangan kemudian menggunakan dron berkenaan untuk menghantar makanan dan selimut kepada Kaleb sehingga haiwan itu mengambil keputusan sendiri untuk berpindah ke kawasan yang lebih mudah diakses.
Badan bukan kerajaan (NGO), Save the Chimps turut berkongsi rakaman video Kaleb sedang menikmati pisang yang diambil daripada beg kertas, dijatuhkan menggunakan dron sebelum haiwan itu dilihat berhati-hati melintasi seutas tali merentangi kawasan air bertakung.
Bagi memastikan cimpanzi lain terus mendapat bekalan keperluan, organisasi itu menggunakan beberapa unit trak termasuk kenderaan persendirian milik pekerja penyelenggaraan serta sebuah traktor untuk menghantar makanan, ubat-ubatan dan barangan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Save the Chimps, Ana Paula Tavares memaklumkan, hujan lebat yang melanda kawasan tenggara dan tengah Florida sejak Ahad lalu hingga Selasa menyebabkan banjir di sekitar premis berkenaan.
Bagaimanapun, bangunan penjagaan haiwan organisasi itu kekal selamat kerana terletak di kawasan tanah tinggi.
Malah, beberapa doktor veterinar dan kakitangan lain turut bermalam di kawasan seluas 150 ekar (61 hektar) berhampiran Fort Pierce bagi memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara.
"Cimpanzi mendapat semua makanan mereka, termasuk pisang dan oren tepat pada masanya.
"Mereka berada dalam keadaan baik dan rutin harian mereka tidak terjejas," ujar pihak pusat perlindungan.
Sementara itu, Yohannan berkata, cimpanzi bukan satu-satunya penghuni yang menarik perhatian ketika banjir melanda kawasan itu.
Menurut beliau, seekor buaya kecil ditemui berhampiran dapur pusat perlindungan berkenaan pada Jumaat, dipercayai menggunakan laluan air banjir untuk sampai ke kawasan yang biasanya jarang dikunjungi reptilia berkenaan.
Katanya, paras air menunjukkan penurunan ketara sepanjang malam Jumaat, manakala kira-kira 20 peratus jalan di kawasan premis itu sudah boleh dilalui pada Sabtu.
Banjir besar di kawasan berkenaan turut menyukarkan kakitangan untuk hadir bekerja bagi menggantikan rakan sekerja yang bertugas.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua kakitangan masih bersemangat meskipun keletihan selepas berdepan situasi mencabar itu.
Save the Chimps kini merayu bantuan orang ramai bagi membaiki bangunan dan peralatan yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Seorang penyumbang turut bersetuju untuk memadankan jumlah sumbangan yang diterima organisasi berkenaan.
Ditubuhkan pada 1997, Save the Chimps setakat ini memberikan perlindungan kepada hampir 350 ekor cimpanzi yang diselamatkan daripada makmal penyelidikan, perdagangan haiwan peliharaan dan industri hiburan. - Agensi