BANGKOK - Penemuan roti berkulat dan busuk di sebuah kondominium di kawasan Hua Mak, di sini membawa kepada terbongkarnya kegiatan pengedaran dadah, penahanan tiga suspek serta rampasan dadah bernilai lebih dua juta baht (dianggarkan RM241,000).
Memetik laporan Thaiger, siasatan bermula selepas pegawai Biro Penindasan Narkotik (NSB) menerima maklumat berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah kondominium di kawasan Hua Mak.
Menurut pihak penyiasat, sekumpulan penghuni yang mencurigakan berulang kali membuat pesanan roti dalam kuantiti banyak, namun membiarkan makanan itu di luar rumah sehingga rosak dan dihurungi semut.
Aktiviti luar biasa itu menimbulkan syak wasangka bahawa pesanan berkenaan digunakan untuk menyembunyikan kegiatan haram.
Pegawai polis kemudian mula memantau kondominium terbabit sebelum mendapati beberapa individu keluar masuk dari sebuah unit kediaman secara bergilir-gilir, seolah-olah mengikut syif.
Penyiasat turut melihat roti diserahkan kepada penghantar makanan lebih 20 kali sehari.
Polis kemudian mengekori salah seorang penghantar makanan itu sehingga ke lokasi penghantaran sebelum menahannya untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan mendapati roti berkenaan mengandungi dadah yang disembunyikan di dalamnya.
Maklumat diperoleh daripada penghantar makanan itu membawa kepada seorang wanita warga Thailand berusia 29 tahun, Chanyanuch, yang bertanggungjawab membungkus dan mengedarkan bahan terlarang berkenaan.
Polis menyerbu unit kondominiumnya di kawasan On Nut pada Isnin dan menemui 510 gram kokain, 18.8 gram syabu, 73.9 gram ketamin serta wang tunai melebihi 100,000 baht (RM12,000).