JAKARTA - Malaysia dan Indonesia perkukuh kerjasama pembangunan luar bandar menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan lapan bidang utama antaranya pendigitalan, keusahawanan, eko-pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembasmian kemiskinan.
MoU berkenaan ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi pihak Malaysia, manakala Indonesia diwakili Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal, Yandri Susanto.
Lapan bidang dipersetujui dalam MoU berkenaan antaranya pembangunan kapasiti dalam pengurusan di desa, pendigitalan untuk kemajuan luar bandar, keusahawanan luar Bandar dan pembangunan perusahaan Desa.
Bidang lain ialah eko-pelancongan dan agro-pelancongan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk belia luar bandar.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Ahmad Zahid mengundang Susanto untuk berkunjung ke Malaysia bagi melihat sendiri pelaksanaan pembangunan luar bandar.
“Insya-ALLAH mungkin ini akan sama-sama kita berkongsi, mempelajari sesuatu yang baik demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk-penduduk di perdesaan,” ujar beliau.
Sementara itu, Susanto berkata, kerjasama lapan bidang antara Malaysia dan Indonesia itu akan diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar di lapangan melalui pembentukan pasukan yang dianggotai pegawai teknikal kedua-dua negara.