'Suasana kecoh, tegang di Lebuh Pudu' - Warga asing bergelut dengan anggota imigresen

Iklan
Insiden pergelutan antara warga asing dengan anggota JIM yang berlaku ketika serbuan di Lebuh Pudu, Kuala Lumpur pada Ahad. - FOTO: Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Kesibukan warga asing 'berkunjung' di premis sekitar Lebuh Pudu di sini dikejutkan dengan operasi bersepadu pihak berkuasa pada Ahad.

Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di lokasi terbabit bertukar kecoh apabila segelintir warga asing bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan serbuan.

Bahkan, suasana sedikit tegang apabila ada antara warga asing terbabit bergelut dengan anggota JIM dalam cubaan melepaskan diri.

Iklan

Selain itu, terdapat beberapa premis perniagaan serta asrama pekerja yang dikunci terpaksa dipecah sebelum tangkapan dilakukan.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan premis di tingkat atas bangunan yang disyaki menjadi sarang pelacuran, selain kedai menjual ubat-ubatan haram kepada warga asing.

Iklan

Antara premis berkunci yang dibuka dengan bantuan JBPM.

Seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20-an mendakwa dirinya ditahan ketika sedang bekerja di kedai perjudian dalam talian.

"Saya kena tahan dengan rakan. Kerja sini dah lapan bulan. Bos bayar gaji RM1,800 sebulan.

"Biasa sini ramai pelanggan warga asing. Hari-hari kedai buka mula jam 9 pagi sampai 9 malam," katanya.

Susulan tangkapan berskala besar itu, rata-rata premis terus menjadi kosong, malah ada antara warga asing cuba berpura-pura menjadi pelanggan di premis pengurup wang.

Hamsha menemubual warga asing yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, Op Bersepadu Mega bermula jam 11 pagi itu bertindak memeriksa 2,500 warga asing.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seramai 472 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, membabitkan 439 lelaki dan 33 wanita berusia lingkungan 18 hingga 62 tahun.

"Tangkapan antaranya terdiri daripada warga Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, China, Pakistan dan Zimbabwe.

"Antara kesalahan utama dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Ahad.

Ketika ditanya sama ada lokasi serbuan merupakan antara hotspot PATI, beliau tidak menafikannya.

Antara warga asing yang diperiksa dalam Op Bersepadu Mega. - FOTO: Rosli Talib

Jelasnya, berdasarkan pemeriksaan, kebanyakan warga asing itu datang pada hujung minggu.

"Kuala Lumpur ini menjadi tumpuan warga asing daripada pelbagai negeri. Kebanyakan memiliki dokumen perjalanan yang sah dan bekerja. Kebetulan pula cuti hujung minggu, ia jadi tumpuan dan kita periksa agak ramai.

"Daripada itu, 472 orang didapati tidak memiliki dokumen yang sah," ujarnya.

Tegasnya, kesemua tahanan itu dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil.

Lebih 2,000 warga asing diperiksa menerusi Op Bersepadu Mega. - FOTO: Rosli Talib