Dakwaan pemiutang cari Dr Fie: Polis sahkan terima laporan Nubhan Oktober lalu

Iklan
Polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi, Nubhan yang mendakwa didatangi pengutip hutang yang mencari bekas isterinya Dr Fie.

SEREMBAN - Polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali sebagai Nubhan yang mendakwa didatangi pengutip hutang yang mencari bekas isterinya Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, penyanyi berusia 40 tahun itu telah membuat laporan di Balai Polis Paroi pada 23 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

"Saya juga tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes ini kerana ia membabitkan hal peribadi dan sulit," katanya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan buat laporan polis, dakwa rumah didatangi pemiutang cari Dr Fie

Iklan

Sebelum ini Nubhan berkongsi salinan laporan polis dibuatnya berhubung perkara tersebut di Facebook pada malam Rabu dengan mendakwa pengutip hutang yang datang ke rumahnya memaklumkan bahawa bekas isterinya mempunyai hutang dalam jumlah yang besar.

Justeru laporan tersebut dibuat olehnya kerana bimbang keselamatan anak-anaknya yang kini berada di bawah jagaan wanita terbabit.

Iklan

"Atas hal ini, saya datang ke balai buat repot kerana bimbang keselamatan anak-anak serta takut terjadi apa-apa hal di kemudian hari," menurut laporan polis terbabit.

Bagaimanapun tarikh laporan tersebut dibuat tidak didedahkan.

Selain itu, bekas peserta Akademi Fantasia berkenaan turut menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya keselamatan dirinya, anak-anak dan keluarga terancam.

"Saya tidak teragak agak untuk mengambil tindakan undang undang di atas keselamatan anak anak dan keluarga saya," tulisnya.

Perkongsian Nubhan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi warganet yang turut mempersoalkan kenapa kejadian terbabit dikongsi ketika nama suami baharu kepada Dr Fie iaitu Kapten Amrul Nizar Anuar terpalit kontroversi susulan dakwaan culas dalam menjaga anak serta pembayaran nafkah.

Dr Fie dan Kapten Amrul Nizar yang merupakan seorang duda selamat bergelar suami isteri pada 1 November lalu.

Sebelum itu, Dr Fie dan Nubhan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Disember 2025 selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

 

.