Malaysia kaji tenaga nuklear, kerja kesiapsiagaan diperkasa

Iklan
Lih Kang (tengah) merasmikan ESTCON ke-9 2026 pada Selasa.

GEORGE TOWN – Malaysia sedang mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada pilihan sumber tenaga masa depan namun sebarang keputusan untuk mengadaptasinya masih belum dibuat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, kementeriannya kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja kesiapsiagaan bagi memastikan negara bersedia sekiranya tenaga nuklear dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada campuran tenaga pada masa depan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerja kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan aspek kawal selia, pembangunan bakat dan keupayaan industri tempatan berada pada tahap yang diperlukan.

“Tenaga nuklear bukan bakal dikaji, kita sedang mengkajinya. Pada masa sama, kita sedang buat kerja-kerja kesiapsiagaan.

Iklan

“Ini bukan bermakna kita sudah buat keputusan tetapi kita kena buat persediaan supaya kawal selia kita bersedia, bakat kita bersedia dan pada masa sama kita perlu pastikan industri juga bersedia dari segi persiapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) ke-9 2026 di Penang Waterfront Convention Centre, di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, terdapat tiga bidang utama di bawah portfolio MOSTI yang sedang diberi perhatian dalam usaha kesiapsiagaan berkenaan iaitu pembangunan teknologi, pembangunan bakat serta pembangunan kawal selia.

Katanya, ketiga-tiga aspek berkenaan perlu diperkukuh terlebih dahulu bagi memastikan Malaysia mempunyai asas yang kukuh sekiranya tenaga nuklear dipertimbangkan pada masa hadapan.

“Jadi, kita sedang melihat kepada tiga perkara ini. Tiga lagi perkara akan dipertimbangkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, keputusan sama ada Malaysia akan mengadaptasi tenaga nuklear atau sebaliknya bukan berada di bawah bidang kuasa MOSTI.

“Untuk kerajaan membuat keputusan sama ada mahu mengadaptasi atau tidak, itu di luar bidang kuasa kita,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Lih Kang berkata, Malaysia sedang menjalankan penilaian dan kerja persediaan bagi melihat potensi peranan tenaga nuklear dalam campuran tenaga masa depan negara.

Beliau berkata, penilaian berkenaan bukan hanya melibatkan aspek teknologi tetapi turut memerlukan keupayaan sains dan kejuruteraan yang kukuh, rangka kawal selia serta keselamatan yang teguh, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kesiapsiagaan industri domestik.

"Keperluan menilai pelbagai pilihan tenaga bagi jangka panjang menjadi semakin penting susulan peningkatan permintaan tenaga khususnya akibat perkembangan semikonduktor, pembuatan termaju dan ekonomi digital.

"Perkembangan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data hyperscale turut mewujudkan permintaan tinggi terhadap tenaga dan infrastruktur digital," jeladnya lagi.