Rekod culas nafkah bakal pasangan dicadang disemak sebelum kahwin

Iklan
Marhamah

KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mencadangkan mekanisme semakan rekod pengabaian nafkah bakal pasangan sebagai langkah awal melindungi hak dan kebajikan individu yang ingin mendirikan rumah tangga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, cadangan semakan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) itu merupakan antara pendekatan pencegahan awal bagi menangani isu pengabaian tanggungjawab nafkah.

Iklan
Iklan

“Manakala bagi yang berhasrat untuk berpoligami pula, permohonan perlu dibuat kepada Mahkamah Syariah,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai usaha dan mekanisme tegas kerajaan bagi menyelesaikan isu kelewatan perbicaraan Mahkamah Syariah, khususnya kes tuntutan nafkah dan anak yang tertunggak bertahun-tahun.

Iklan

Mengulas lanjut, Marhamah berkata, kelulusan permohonan poligami bergantung kepada beberapa syarat termasuk kemampuan kewangan dan tanggungjawab nafkah pemohon.

Menurutnya, penilaian tersebut penting bagi memastikan hak serta kebajikan isteri dan anak-anak sedia ada serta bakal isteri terus dipelihara.

Iklan

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan melalui JKSM turut memperkukuh pendekatan pendidikan dan kesedaran masyarakat bagi mencegah pengabaian nafkah.

Antaranya menerusi program Ops Nafkah Waris Peduli Keluarga Sejahtera yang menggabungkan elemen penguatkuasaan, advokasi dan pendidikan masyarakat mengenai tanggungjawab nafkah.

“Dalam program ini, masyarakat didedahkan berkenaan peranan ahli waris memenuhi kewajipan nafkah sekiranya bapa atau suami mengabaikan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Kata Marhamah, usaha tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa nafkah merupakan hak isteri dan anak-anak yang perlu dipenuhi selain memberikan kesedaran mengenai implikasi kegagalan mematuhi perintah mahkamah.