Lima kolej kediaman baharu dirancang tampung 21,000 mahasiswa - Zambry
Iklan
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang membangunkan lima kolej kediaman baharu di universiti awam yang dijangka menyediakan kemudahan penginapan kepada sehingga 21,000 mahasiswa bagi menangani masalah kekurangan penempatan pelajar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembangunan kolej kediaman berkenaan akan dilaksanakan menerusi kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) sebagai sebahagian usaha jangka panjang menyediakan penginapan lebih selesa dan kondusif, termasuk kepada golongan B40.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, pendekatan itu merupakan kesinambungan kepada projek pembinaan kolej kediaman yang telah dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kapasiti penempatan mahasiswa di universiti awam.
“Terdapat 15 projek pembinaan kolej kediaman telah disiapkan melalui kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) dengan kapasiti keseluruhan melibatkan 45,000 orang pelajar (sejak tahun 2021 hingga 2025).
Iklan
“Jadi kerajaan berhasrat untuk membangunkan lima buah kolej kediaman baru di universiti awam melalui kaedah yang sama yang dijangka akan menyediakan kapasiti penginapan sehingga 21,000 orang pelajar,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai usaha berterusan kerajaan menangani isu kekurangan penempatan kolej kediaman di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) khususnya membabitkan pelajar B40.
Iklan
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di IPTA yang dibangunkan pada November 2024 merupakan antara langkah kerajaan menangani keperluan penginapan mahasiswa secara lebih terancang.
Katanya, dasar tersebut dihasilkan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) serta sesi libat urus bersama pemimpin mahasiswa.
“Dasar ini menyasarkan penyediaan kemudahan kolej kediaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar prasiswazah sarjana penuh masa secara fizikal menjelang tahun 2035,” jelasnya.
Pembangunan dasar berkenaan ujarnya, turut disusuli penyediaan garis panduan yang telah diedarkan kepada semua universiti awam bagi meneliti keperluan semasa.
Zambry turut memaklumkan, kerajaan menyediakan peruntukan besar sepanjang 2021 hingga 2025 bagi menggantikan, menaik taraf dan memulihkan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA.
“Selaras dengan perkara ini, kerajaan telah pun memperuntukkan sejak tahun 2021 hingga 2025 iaitu sebanyak RM1.1 bilion bagi tujuan penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA.
“Dalam tempoh yang sama, KPT turut memperuntukkan hampir RM225 juta untuk kerja-kerja penaiktarafan dan membaik pulih asrama sedia ada melalui peruntukan pembangunan,” kata beliau.
Zambry berkata, untuk tahun 2027, sebagaimana yang telah kita dengar pembentangan belanwan oleh Perdana Menteri pada 9 Oktober lalu, KPT diperuntukkan sebanyak RM800 juta bagi tujuan penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA termasuk di asrama dan kolej kediaman.
Malah, tambahnya, kementerian turut mengadakan kerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memenuhi keperluan asrama atau kolej kediaman pelajar.
"Sebagai permulaan projek rintis pembinaan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya telah pun dilancarkan Perdana Menteri dua minggu lalu yang dijangka siap pada tahun 2031 sekali gus dapat memberi manfaat kepada 10,000 orang pelajar di Universiti Malaya," katanya.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mencadangkan mekanisme semakan rekod pengabaian nafkah bakal pasangan sebagai langkah awal melindungi hak dan kebajikan individu yang ingin mendirikan rumah tangga.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, cadangan semakan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) itu merupakan antara pendekatan pencegahan awal bagi menangani isu pengabaian tanggungjawab nafkah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/801984/berita/nasional/rekod-culas-nafkah-bakal-pasangan-dicadang-disemak-sebelum-kahwin
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.