Bantuan RM1,000 untuk pemandu teksi seluruh negara, bukan Melaka sahaja – Anthony

Iklan
Anthony Loke ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI, Jalan Lingkaran MITC. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR

MELAKA - Bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi dan kereta sewa bukan hanya diberikan di Melaka, sebaliknya melibatkan golongan itu di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tanggapan bahawa bantuan berkenaan hanya disalurkan di Melaka susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung adalah tidak tepat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majlis penyampaian bantuan itu dilaksanakan secara berperingkat di beberapa negeri sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membantu meringankan beban golongan berkenaan.

“Saya nak membetulkan beberapa kenyataan di luar yang mempersoalkan mengapa bantuan ini hanya diberikan di Melaka. Hakikatnya, bantuan ini untuk semua pemandu teksi di seluruh negara, bukan hanya di Melaka,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI, Jalan Lingkaran MITC di sini pada Isnin.

Anthony menyampaikan baucar RM1,000 kepada seorang pemandu teksi. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR

Iklan

Pada majlis itu, seramai 283 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang.

Katanya, bantuan sebanyak RM1,000 itu akan diberikan kepada pemandu yang memenuhi syarat, termasuk mempunyai kelab pemandu yang sah serta kad pemandu yang disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, pemandu yang tidak berkesempatan menghadiri majlis penyampaian bantuan akan menerima bayaran melalui pemindahan terus ke akaun masing-masing.

“Kita berharap proses pembayaran ini dapat dipercepatkan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

“Bermula hari ini, terdapat kira-kira 12,000 penerima yang akan dikreditkan bantuan ke akaun bank masing-masing dan mereka dijangka menerima bayaran dalam tempoh dua hingga tiga hari,” katanya.