KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti penggunaan pendapatan boleh guna bersih (NDI) isi rumah sebagai asas pemberian bantuan susulan tekanan kewangan dihadapi golongan M40 yang membelanjakan hampir 70 peratus pendapatan untuk keperluan asas.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan menyedari bahawa dasar pemberian bantuan tidak boleh bergantung kepada pendapatan kasar semata-mata kerana ia tidak semestinya menggambarkan kedudukan kewangan sebenar isi rumah.
Menurut beliau, pendekatan NDI mengambil kira perbelanjaan asas berdasarkan demografi dan lokaliti, berbanding penilaian yang hanya menggunakan jumlah pendapatan kasar bulanan.
“Kerajaan menyedari bahawa dasar tidak boleh bergantung kepada angka pendapatan kasar semata-mata. Sebagai jalan ke hadapan, kerajaan sedang meneliti penggunaan NDI dalam pemberian bantuan.
“NDI adalah lebih adil kerana mengambil kira perbelanjaan asas mengikut demografi dan lokaliti,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai kedudukan kelas pertengahan yang tidak semestinya layak menerima bantuan tetapi berdepan peningkatan komitmen perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keluarga.
Mohd Shahar berkata, bagi melaksanakan projek rintis berhubung penggunaan pendekatan NDI dalam pemberian bantuan itu, Kementerian Ekonomi kini mengadakan perbincangan dengan agensi yang berkaitan.
Katanya, projek berkenaan bertujuan memahami kesan pelaksanaan kaedah tersebut terhadap kedudukan fiskal negara sebelum kaedah pengukuran baharu dimuktamadkan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kumpulan pertengahan atau M40 mencatatkan pendapatan kasar bulanan antara RM5,860 hingga RM12,679 dengan purata RM8,744.
Bagaimanapun, tegasnya, sebahagian besar pendapatan tersebut digunakan untuk menampung perbelanjaan asas.
“Dari segi perbelanjaan, data DOSM menunjukkan hampir 70 peratus pendapatan M40 dibelanjakan untuk kos asas perumahan dan utiliti (22.7 peratus), makanan (34.1 peratus) dan pengangkutan (10.6 peratus).
“Setelah ditolak komitmen pendidikan dan perubatan, baki pendapatan pada hujung bulan amat tipis. Inilah fenomena 'middle-class squeeze' yang diambil perhatian oleh kerajaan,” ujarnya.
Sementara kaedah pengukuran baharu dimuktamadkan, Mohd Shahar berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 terus melaksanakan beberapa langkah bagi meringankan beban rakyat termasuk golongan kelas pertengahan.
Antaranya, pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, manakala kadar cukai dikurangkan satu mata peratusan bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM150,000.
Beliau berkata, pelepasan penjagaan ibu bapa turut diperluaskan dengan langkah percukaian tersebut memberikan lebihan sehingga RM1,600 kepada lima juta pembayar cukai.
"Bagi pendidikan pula, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 untuk 5.3 juta murid tanpa mengira pendapatan, selain diskaun 10 peratus pinjaman Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam yang membuat bayaran secara teratur.
"Dalam aspek perumahan, kerajaan menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Madani sehingga RM360,000 dan SJKP Inklusif sehingga RM500,000 bagi pembeli rumah pertama," kata beliau.
Mohd Shahar turut memaklumkan, insurans dan takaful perubatan mampu milik MediAsas akan dilancarkan mulai Januari 2027, manakala Dasar Gaji Progresif (DGP) diteruskan.
"Penanda aras gaji sara hidup di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan mulai 2027 yang akan memanfaatkan 230,000 pekerja.
"Dalam masa yang sama, sebahagian bantuan bagi keperluan asas yang disediakan oleh kerajaan telah mula beralih kepada pendekatan bantuan sejagat," jelas beliau.
Sebagai contoh, ujarnya, Bantuan Awal Persekolahan dan BUDI95 telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara umumnya termasuk golongan kelas menengah.