KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) mahu kerajaan memastikan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan industri berdepan ketidakpastian undang-undang.
Setiausaha Agung DPVM, Ridhwan Rosli berkata, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan berhubung kedudukan nikotin dalam produk vape tidak seharusnya menyebabkan industri yang telah mengambil langkah mematuhi Akta 852 terjejas.
Menurutnya, Akta 852 diwujudkan sebagai satu kerangka khusus bagi mengawal selia produk merokok dan penggubalannya melalui proses panjang dengan mengambil kira pandangan kerajaan, kementerian, agensi berkaitan serta pihak berkepentingan termasuk pemain industri.
“Justeru, apabila kerajaan telah memilih untuk mewujudkan satu kerangka khusus bagi mengawal selia produk merokok, termasuk produk vape, kami berpandangan bahawa Akta 852 perlu terus dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara menyeluruh.
“Sebarang perubahan terhadap kerangka ini wajar dipertimbangkan dengan teliti agar tidak menjejaskan matlamat asal undang-undang tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ridhwan berkata, industri sejak awal menyatakan kesediaan untuk dikawal selia, malah pemain industri telah membuat pelaburan besar bagi memenuhi keperluan pematuhan berkaitan produk, pembungkusan, pelabelan, pendaftaran dan operasi perniagaan.
Katanya, keputusan perniagaan serta pelaburan yang dibuat pemain industri adalah berdasarkan kerangka kawal selia yang ditetapkan kerajaan.
“Tidak wajar apabila industri yang telah mengambil langkah untuk mematuhi undang-undang tersebut pula terpaksa menanggung kesan daripada perubahan pada kedudukan undang-undang.
“Di belakang setiap perniagaan ada pekerja, pengedar, peruncit dan keluarga yang bergantung kepada sumber pendapatan itu,” katanya.
Dalam pada itu, DPVM menegaskan pihaknya tidak menolak pengawalseliaan, sebaliknya menyokong pendekatan meletakkan produk tembakau, vape, shisha serta produk merokok lain di bawah satu kerangka kawal selia yang jelas dan konsisten.
Ridhwan berkata, sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan awam, penyalahgunaan produk atau penguatkuasaan boleh ditangani menerusi penguatkuasaan lebih berkesan atau pindaan peraturan sekiranya diperlukan.
“Namun, menjejaskan keseluruhan industri yang telah mengambil langkah untuk mematuhi undang-undang bukanlah penyelesaian yang wajar,” katanya.
Beliau berkata, kepastian undang-undang penting bagi membolehkan industri menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab selain memenuhi kehendak kerajaan.
“Kerangka kawal selia sudah dibangunkan dan industri telah menunjukkan komitmen untuk mematuhinya.
“Apa yang kami harapkan ialah Akta 852 terus dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang konsisten serta penambahbaikan jika diperlukan,” katanya.