Banjir Nepal-China: Angka kematian meningkat ke 633, hampir 3,000 hilang

Iklan
Gambar udara yang diambil hari ini menunjukkan kesan kejadian banjir di daerah Nuwakot, Nepal. Foto: MANAN VATSYAYANA / AFP

ISTANBUL - Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di sempadan Nepal-China meningkat kepada 633 orang dan hampir 3,000 orang hilang, menurut angka terkini daripada pihak berkuasa dan media tempatan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

Di Nepal, angka kematian meningkat kepada 626 orang dan 2,426 belum ditemui, lapor Kathmandu Post memetik Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan negara itu.

Iklan
Iklan

Pasukan mencari dan menyelamat terus menemukan mayat yang dihanyutkan arus deras sungai.

Chitwan dan Nawalparasi Timur antara kawasan paling teruk terjejas manakala puluhan mangsa turut ditemui di Gorkha, Dhading dan Nuwakot susulan limpahan air sungai Bhotekoshi dan Trishuli, aliran utama yang berpunca daripada banjaran Himalaya.

Iklan

Mayat ditemukan sehingga ke kawasan sempadan dengan India.

Banyak warga asing turut termasuk dalam kalangan mereka yang belum ditemui.

Iklan

Menurut India, 320 rakyatnya masih hilang di Nepal, menjadikan warga India sebagai kumpulan warga asing terbesar belum ditemui.

"Setakat ini, jumlah individu yang tidak dapat dihubungi atau dilaporkan hilang ialah 320 orang," kata jurucakap Kementerian Luar Negeri India, Randhir Jaiswal, dalam satu taklimat media pada Jumaat, menurut kenyataan kementerian itu di X.

Jaiswal berkata, kira-kira 100 individu berketurunan India, yang mungkin turut memegang kewarganegaraan lain, juga masih tidak dapat dihubungi.

India turut memaklumkan puluhan rakyatnya telah diselamatkan termasuk 63 orang yang bekerja di projek jana kuasa hidroelektrik Trishuli-1.

Sementara itu, tujuh orang terkorban dan 554 lagi masih hilang di China, menurut agensi berita negara, Xinhua.

Angka mereka yang hilang mungkin berubah memandangkan pasukan mencari dan menyelamat masih terus mengesan individu yang terputus hubungan akibat gangguan komunikasi disebabkan oleh kerosakan infrastruktur bekalan elektrik.

Pihak berkuasa Nepal melaporkan 2,301 orang telah diselamatkan atau menerima rawatan, dengan kebanyakan mangsa yang terselamat ditemui di daerah Nuwakot dan Rasuwa.

Sementara itu, data polis menunjukkan 27 pegawai masih gagal dihubungi manakala 4,811 anggota telah dikerahkan ke seluruh kawasan terjejas bagi mengendalikan usaha pemulihan.

Nepal telah bersetuju untuk membenarkan kehadiran pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa.

"Kami menerima tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa supaya membenarkan sekurang-kurangnya pasukan mencari dan menyelamat serta beberapa pakar, memandangkan rakyat mereka juga hilang dalam kejadian banjir ini," kata seorang pegawai kepada akhbar Kathmandu Post.

Sebuah persatuan pengeluar tenaga melaporkan 934 individu terbabit dengan 11 tapak jana kuasa hidroelektrik yang rosak belum dapat dikesan, lapor Xinhua.

"Anggaran semasa menunjukkan kira-kira 93,000 orang mungkin terjejas, sementara penilaian masih dijalankan di kawasan yang sukar diakses," menurut Palang Merah Antarabangsa.

Angka korban dan jumlah yang hilang dijangka berubah apabila pasukan penyelamat berjaya sampai ke kawasan terpencil dan pihak berkuasa memulihkan sistem komunikasi. - Bernama