Risiko banjir kedua ancam Nepal, China hentikan operasi menyelamat

Iklan
Tasik itu terbentuk di kawasan hulu, berhampiran lokasi yang dilanda banjir kilat dahsyat pada Rabu. Foto: NDTV

KATHMANDU - China memberi amaran mengenai risiko tinggi sebuah tasik yang terbentuk akibat runtuhan glasier dan tanah runtuh di sempadan Nepal-Tibet pecah, sekali gus mencetuskan banjir kedua di kawasan yang baru sahaja dilanda bencana dahsyat.

Tasik berkenaan, yang terbentuk selepas runtuhan besar menyekat aliran sungai berhampiran pertemuan Sungai Chhochen Khola dan Purepu Tsangpo, dilaporkan mula melimpah pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pihak berkuasa China berkata tasik itu kini mengandungi lebih 2.5 juta meter padu air, meningkat daripada kira-kira 1.5 hingga dua juta meter padu sehari sebelumnya.

Tambahan sehingga tiga juta meter padu air dijangka mengalir masuk ke tasik itu dalam tempoh beberapa hari akan datang, meningkatkan risiko ia pecah dan melepaskan aliran deras ke kawasan hilir.

Iklan

Susulan ancaman itu, China menghentikan sementara operasi mencari dan menyelamat di kawasan paling teruk terjejas di Tibet. Pasukan kecemasan diarahkan berundur ke lokasi lebih selamat sementara keadaan tasik dipantau.

Kebimbangan itu timbul hanya dua hari selepas banjir kilat besar melanda kawasan sempadan Nepal-China, selepas runtuhan glasier mencetuskan aliran air, lumpur dan batu yang memusnahkan rumah, jambatan, jalan raya serta beberapa kemudahan penting.

Iklan

Di Nepal, sekurang-kurangnya 469 orang disahkan maut, manakala lebih 1,400 lagi masih hilang termasuk pelancong asing dan jemaah yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash.

Pihak berkuasa Nepal turut memberi amaran kepada penduduk di sepanjang sungai Bhote Koshi dan Trishuli supaya berwaspada serta menjauhi kawasan tebing sungai kerana peningkatan paras air boleh membawa risiko banjir baharu.

Pasukan penyelamat kini berdepan keadaan yang semakin sukar kerana banyak jalan dan jambatan musnah, manakala risiko tanah runtuh, aliran lumpur serta runtuhan salji masih tinggi.

Dalam pada itu, Nepal sedang melakukan tinjauan udara bagi menilai keadaan di sepanjang sungai Bhote Koshi selepas laporan menyebut tasik berkenaan mungkin telah pecah. Pihak berkuasa berkata maklumat lebih tepat mengenai jumlah air yang dilepaskan dan kawasan yang berisiko akan diperoleh menerusi tinjauan tersebut.

Bencana berkenaan dipercayai antara yang paling dahsyat melanda Nepal dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan operasi menyelamat kini terpaksa diteruskan dalam keadaan ancaman banjir kedua yang masih belum reda. - Agensi