ISLAMABAD - Kerajaan Pakistan pada Rabu mencabar arahan Mahkamah Agung supaya bekas Perdana Menteri, Imran Khan, dipindahkan dari penjara ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Menurut laporan Reuters, petisyen yang difailkan kerajaan di Mahkamah Agung menunjukkan cabaran itu dibuat sehari selepas mahkamah mengarahkan Khan dipindahkan ke Shifa International Hospital di Islamabad dalam tempoh dua hari.
Arahan mahkamah itu turut menetapkan supaya Khan diberikan akses kepada doktor peribadinya serta panel perubatan yang merangkumi pakar kardiologi dan pakar mata.
Tindakan kerajaan itu berpotensi menghampakan harapan parti dan keluarga Khan yang selama ini mendesak supaya bekas pemimpin berusia 73 tahun itu diberikan akses kepada rawatan kesihatan serta hak untuk menerima kunjungan.
Ia juga berpotensi mencetuskan ketidakpuasan hati awam berhubung layanan terhadap tokoh politik yang amat popular itu dan pernah menjadi bintang kriket Pakistan.
Khan kini menjalani hukuman penjara di bandar garnisun Rawalpindi sejak Ogos 2023 selepas disabitkan dalam beberapa kes yang menurutnya bermotifkan politik, susulan perselisihannya dengan pihak tentera Pakistan yang berpengaruh.
Beliau disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri pada tahun sebelumnya.
Arahan Mahkamah Agung pada Selasa itu mengarahkan kerajaan memindahkan Khan ke hospital swasta berkenaan di ibu negara dalam tempoh dua hari serta membenarkan beliau mendapatkan rawatan daripada doktor peribadinya.