BATU PAHAT - Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan sebelum mayatnya ditemukan terapung dalam jaring di sungai, awal bulan ini.
Keempat-empat tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40; Lim Yong Ming, 26; Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33.
Semua tertuduh hanya mengangguk sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memadangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, di hadapan kedai makan di Jalan Emas Putih, Taman Sri Skudai, Johor Bahru sehingga di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja dekat sini.
Kejadian itu berlaku pada jam 2.35 petang hingga 12.30 tengah hari, antara 29 Julai hingga 3 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala kesemua tertuduh SJ Sean Dudley dan Datin Freda Sabapathy.
Turut mengikuti prosiding, peguam pemerhati keluarga mangsa, Chuah Shyue Chien dan Kenji Soh Xin Da.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru sementara menunggu laporan post mortem, asid deoksiribonukleik (DNA), forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon.
Tiada ikat jamin ditawarkan terhadap kesemua tertuduh.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 14 Oktober depan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dililit jaring: Reman 5 suspek disambung seminggu
Dua lagi suspek ditahan bantu siasatan kes bunuh lelaki diikat jaring
Sangka bangkai haiwan, rupanya mayat dibungkus jaring
Mayat berbungkus jaring: Tiga lelaki ditahan, polis siasat motif hutang
Sebelum ini, polis menahan lima suspek pada minggu lalu, susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun, terapung dalam keadaan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja di sini.
Mayat terbabit ditemukan penduduk dalam keadaan mengerikan dan turut tular di media sosial.
Berdasarkan siasatan awal polis, suspek dipercayai membunuh mangsa dengan menjerut leher menggunakan tali.
Suspek kemudian membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan sebelum mengikat kedua-dua tangan menggunakan pita pelekat serta membalut jasadnya menggunakan jaring.
Siasatan juga mendapati, terdapat lima ketul batu ditemukan pada mayat yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan mangsa sebaik dibunuh.
Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai lalu dan ahli keluarganya hanya menemukan kenderaannya di Johor Bahru.
Semakan rekod jenayah lampau ke atas semua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.