Petinju meninggal dunia selepas 11 tahun derita akibat 'tumbukan haram'

Iklan
Terrel (kiri) ketika perlawanan menentang Prichard yang mengubah kehidupan pemuda asal Puerto Rico itu selama-lamanya.

FLORIDA - Bekas petinju profesional, Prichard Colon yang kisahnya pernah tular kerana mengalami kecederaan otak parah dalam satu pertarungan 11 tahun lalu, disahkan meninggal dunia pada usia 33 tahun.

Memetik laporan BBC, perkara itu dimaklumkan oleh bapanya, Richard Colon menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

“Selamat pagi semua. Dengan dukacitanya saya ingin memaklumkan pemergian anak saya, Prichard.

“Kini dia berada di dunia yang lebih baik. Saya telah melakukan segala yang termampu untuk memenuhi hasrat dan impiannya iaitu bercuti ke Puerto Rico, tetapi ia tidak dapat direalisasikan.

Iklan

“Terima kasih atas kasih sayang dan doa selama bertahun-tahun. Sedaya upaya yang boleh, saya mohon agar terus mendoakan kami," kata Richard dalam satu hantaran ringkas.

Prichard.

Iklan

Pada 17 Oktober 2015, Prichard dilaporkan rebah di bilik persalinan selepas pertarungan menentang Terrel Williams yang menyaksikan dia beberapa kali mengadu terkena tumbukan pada bahagian belakang kepala.

Pemuda berkenaan sempat mengadu pening dan muntah sebelum rebah, kemudian dikejarkan ke Hospital Inova Fairfax.

Petinju asal Puerto Rico itu disahkan mengalami pendarahan otak.

Selepas menjalani pembedahan bagi mengurangkan pembengkakan, dia ditempatkan dalam keadaan koma selama 221 hari.

Prichard menghabiskan sisa hidupnya dalam keadaan vegetatif iaitu tidak mampu berjalan atau bercakap dan memerlukan penjagaan rapi 24 jam.

Mendiang difahamkan tidak pernah tewas dalam 16 pertarungan (13 knock out) sebelum bertemu Terrel di Fairfax, Virginia.

Dalam pertarungan kategori light-middleweight itu, Prichard dilihat beberapa kali terkena tumbukan pada bahagian belakang kepala dan Williams dikenakan pemotongan satu mata kerana melakukan tumbukan yang menyalahi peraturan.

Prichard kemudiannya dikenakan hukuman pemotongan dua mata kerana melakukan tumbukan rendah dan dia dijatuhkan pada pusingan kesembilan.

Menyangka pertarungan itu telah tamat, pasukan di penjuru Prichard menanggalkan sarung tangannya dan dia kemudiannya disingkirkan daripada pertarungan.

Ibu bapanya memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi lebih AS$50 juta (RM37 juta) terhadap doktor di tepi gelanggang serta penganjur yang mempunyai kaitan dengan pertarungan tersebut.

Keadaan Prichard pada 2017, dua tahun selepas insiden malang itu. Foto Getty Images

Kes saman itu masih belum diselesaikan.

Prichard dilahirkan di Florida sebelum berpindah ke Puerto Rico ketika berusia 10 tahun.

Dia menunjukkan potensi besar ketika remaja apabila memenangi kejuaraan kebangsaan dalam dua kategori berat.

Pemuda itu turut menyertai kejohanan pra-Olimpik di Brazil dengan hasrat melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 di London, namun tewas pada peringkat suku akhir sebelum beralih ke arena profesional dan membuat penampilan sulung pada 2013.

Sehingga kini, warga maya terus-menerus mengecam Terrel yang dikatakan menjadi punca kepada penderitaan dialami Prichard.

Terrel dilaporkan menjalani kehidupan 'low-profile' selepas insiden malang tersebut.

Bekas petinju itu berehat selama dua tahun sebelum kembali ke gelanggang untuk tempoh singkat pada 2017, namun akhirnya bersara daripada sukan tinju pada 2019.

Kini, Williams dikhabarkan bergelar jurulatih tinju berpangkalan di Los Angeles.